Dewan Negara lulus RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2018 diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

Pindaan rang undang-undang itu antara lain akan membolehkan semua sekolah agama, pusat tahfiz dan tadika Islam di Wilayah Persekutuan berdaftar dan dikawal selia.

Pindaan itu juga akan membolehkan majlis agama mengambil tindakan perundangan termasuk mengarahkan penutupan mana-mana maahad tahfiz, sekiranya berlaku sebarang masalah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menggulung perbahasan rang undang-undang itu yang merupakan usul terakhir bagi mesyuarat pertama Dewan Negara bagi Penggal Kedua Parlimen Keempat belas, sebelum diluluskan berdasar suara majoriti.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad dalam ucapan penutup berkata persidangan selama 11 hari itu telah memperlihatkan ketegasan dan kematangan anggota Dewan Negara dalam mengupas isu-isu berkaitan dan berkepentingan pada rakyat.

“Malahan kita telah buktikan potensi sebenar Dewan Negara dengan apa yang telah diusahakan oleh ahli dalam memperjuangkan hak dan masalah rakyat berteraskan pegangan kukuh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Persidangan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.- Bernama

Artikel Berkaitan: