Rakyat perlu sabar untuk lihat perubahan - Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan telah mewujudkan pelbagai inisiatif untuk membantu masyarakat, khususnya yang berpendapatan rendah, dalam tempoh setahun pemerintahannya, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Antaranya ‘Food Bank’ (bank makanan) untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik, termasuk golongan gelandangan, dengan memberi mereka bantuan makanan dan keperluan peribadi, katanya kepada pemberita di sini dalam satu temu bual sempena setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan.

Beliau berkata kerajaan Negeri Sembilan juga telah memperuntukkan RM17.3 juta untuk pembangunan hal ehwal Islam termasuk pembinaan Mahkamah Syariah Daerah Jempol, pembinaan Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah, menaik taraf dan membaik pulih Masjid Negeri dan kenaikan elaun lebih 1,500 guru KAFA (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) serta RM2.84 juta untuk kenaikan imbuhan bilal, siak dan pembantu am wanita masjid; serta tidak menaikkan cukai pintu dan cukai tanah bagi tempoh lima tahun ini.

Selain itu, katanya, insentif kecemerlangan akan diberikan dengan sekali bayaran sebanyak RM1,000 untuk kemasukan program Ijazah Sarjana Muda, RM750 (diploma) dan RM500 (sijil institut pengajian tinggi) dan bantuan bulanan am kepada seramai 2,490 golongan.

Insentif lain ialah menaikan elaun Orang Kelainan Upaya (OKU) di Negeri Sembilan kepada RM200 daripada RM140 sebulan; bantuan khas kepada ibu tunggal secara sekali bayaran pada kadar RM200 seorang; bantuan sara hidup mahasiswa B40 selama setahun dan perkhidmatan bas percuma

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 12 Mei tahun lalu berkata, ekonomi dunia yang tidak stabil hari ini juga turut merencatkan agenda pemulihan pentadbiran.

"Tetapi rakyat harus faham bahawa ini bukan sahaja masalah kerajaan hari ini, tetapi merupakan permasalahan global.

"Ini yang rakyat harus faham bahawa kita berusaha hendak pastikan ekonomi negara sentiasa berjalan dengan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aminuddin yang berpuas hati dengan prestasi 10 Exco dan tidak akan melakukan rombakan Exco.

Hari ini genap setahun gabungan PH, yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan di Negeri Sembilan selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas. -Bernama