Polis Terengganu terima empat laporan MyKad diguna individu lain

Mazli
Mazli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kad pengenalan (MyKad) digunakan individu lain di pusat mengundi di Marang dan Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, laporan itu diterima daripada pengadu yang mendakwa tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi selepas mendapati butiran peribadi mereka itu telah digunakan individu lain.

Menurutnya, sebanyak tiga kes dilaporkan berlaku di Kuala Terengganu sementara satu kes melibatkan daerah Marang.

"Kita menerima laporan empat kes membabitkan empat individu tidak dapat mengundi kerana mendakwa kad pengenalan mereka digunakan oleh orang lain.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Terengganu, petang Sabtu.

Dalam perkembangan sama, katanya, situasi hari mengundi di kebanyakan tempat di negeri ini berjalan lancar dengan tiada sebarang provokasi melampau.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama kumpulan penyokong supaya tidak mencetuskan kekecohan atau sengaja menggangu kententeraman awam.

"Kita nasihatkan agar semua pihak menjaga ketenteraman selepas pusat pengundian ditutup nanti menjelang pengiran undi dan selepas keputusan diperoleh.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap mereka tidak menggangu lalu lintas dengan mengadakan konvoi di tengah jalan bagi tujuan meraikan kemenangan", ujarnya.

Pada Sabtu, sebanyak 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu di samping Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.