PRN: Amirudin yakin PH-BN menang dua pertiga kerusi DUN Selangor

Amirudin bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad selepas mengundi bagi DUN Sungai Tua sempena PRN di SJK (C) Selayang Baru hari ini. - Foto Bernama
Amirudin bersama isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad selepas mengundi bagi DUN Sungai Tua sempena PRN di SJK (C) Selayang Baru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SELAYANG - Datuk Seri Amirudin Shari yakin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dapat memenangi dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Menurut Menteri Besar Selangor itu, keyakinan beliau itu adalah pada skala 70 hingga 80 peratus.

Dalam masa sama, beliau juga menaruh harapan besar kepada pengundi Melayu yang akan turut menyumbang pada kejayaan mengekalkan kerajaan negeri pada PRN kali ini.

“70 hingga 80 peratus kita optimis untuk tubuhkan kerajaan negeri. Diharapkan dengan peningkatan pengundi Melayu keluar, kita jangka dapat menangi 40 hingga 41 kerusi lebih dua pertiga,” jelasnya kepada wartawan selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru di sini pada Sabtu.

Kata Amirudin, beliau dan seluruh jentera telah bekerja keras sepanjang 14 hari berkempen dan kini mandat diserahkan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyeru rakyat di Selangor agar keluar mengundi seawal yang mungkin bagi mengelak cuaca buruk pada sebelah petang.

“Saya nak seru rakyat Selangor di peringkat 15 minit awal sudah ramai kena ambil kesempatan undi beramai-ramai.

“Kita bimbang di sebelah petang cuaca mungkin tidak mengizinkan kerana hujan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kena ambil kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab peluang kepada anda untuk memutuskan masa depan Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu, Amirudin tiba bersama isteri menaiki motosikal kira-kira jam 8.24 pagi ke pusat pengundian itu bagi mengelakkan daripada tersangkut dalam kesesakan.

“Ya, saya naik motosikal sebab trafik sesak kalau saya datang dengan kereta dan saya tak nak menyusahkan orang.

“Jadi saya ambil keputusan untuk naik motosikal, kalau selepas ini nak pergi pusat mengundi (DUN) Sungai Tua pun saya akan naik motosikal,” katanya lagi.

Pada PRN Selangor kali ini, Amirudin berdepan saingan tiga penjuru dari calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.

Lebih 3.74 juta pengundi Selangor akan menunaikan tanggungjawab di 6,000 saluran pengundian di 997 pusat pengundian yang dibuka jam 8 pagi sehingga 6 petang. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!