Isu penyelewengan beras di bawah KPKM

Sebanyak 925 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat pengedaran termasuk pengilang, pemborong dan peruncit. - Foto Bernama. Gambar kecil: Armizan
Sebanyak 925 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat pengedaran termasuk pengilang, pemborong dan peruncit. - Foto Bernama. Gambar kecil: Armizan
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan berhubung penipuan dan penyelewengan pembungkusan beras putih tempatan (BPT) serta beras putih import (BPI) adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan KPKM melalui Op Jamin bermula 7 Julai lalu bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan BPT dan BPI yang mencukupi dengan harga stabil serta terkawal.

"Kerjasama strategik serta perkongsian informasi antara KPKM dan KPDN ini dilihat dapat menjadi satu medium dalam mengukuhkan lagi jalinan kerjasama sedia ada antara kementerian serta agensi di peringkat pusat serta negeri.

"Ia melibatkan pemeriksaan di peringkat pengilang padi dan beras, pemborong serta peruncit sama ada di pasar raya atau kedai runcit di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Armizan berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Op Jamin, sebanyak 925 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat pengedaran termasuk pengilang, pemborong dan peruncit serta 38 aduan turut diterima dalam tempoh yang sama.

Tambahnya, KPDN juga akan mengambil tindakan undang-undang tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kandungan palsu berkaitan dagangan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

"Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan syarikat pula sehingga RM250,000.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, tindakan undang-undang juga boleh diambil ke atas pihak yang didapati membuat kesalahan berkaitan kenyataan palsu mengenai gred beras, iaitu di bawah Seksyen 21 Akta 522.

"Bagi individu, dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM25,000, dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya dan syarikat sehingga RM50,000," ujarnya.