Penonton meninggal dunia di stadium ketika aksi Sabah FC, JDT

Foto tular menunjukkan polis mengusung mangsa yang rebah ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta'Tazim di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Foto tular menunjukkan polis mengusung mangsa yang rebah ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta'Tazim di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Seorang penyokong Sabah FC yang pengsan ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas di sini malam Rabu, disahkan meninggal dunia.



Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan pengsan pada jam 8.27 malam sejurus selepas pasukan Sabah FC menjaringkan gol pertama menerusi Jafri Chew pada perlawanan itu.

Sabah FC dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi pasukan memaklumkan, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

"Sabah FC turut berdukacita, bersimpati dan sekali lagi memanjangkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya tergolong dalam para solihin," menurut kenyataan itu.

Menurut sumber, mangsa telah meninggal dunia ketika tiba di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada jam 9.30 malam dan punca kematian masih dalam siasatan.

Sementara itu, meninjau di ruangan komen Facebook pasukan Sabah FC, pemilik akaun Facebook ‘Nico Abin’ mendakwa dia telah melakukan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa.

"Sempat beri bantuan CPR kepada beliau semalam...kalau boleh pihak pengurusan kena peka kepada benda-benda macam ini. Banyakkan pemantau di setiap zon supaya keadaan dan bantuan awal dapat membantu," katanya.

Tiket bagi perlawanan Sabah FC menentang JDT dilaporkan habis terjual dengan lebih 15,000 penyokong memenuhi Stadium Likas malam tadi bagi menyaksikan perlawanan berkenaan menyaksikan tuan rumah tewas 1-5. - Bernama
Artikel Berkaitan: