Tindakan Ramasamy keluar DAP tidak jejas kempen PH dalam PRN - Nie Ching

Nie Ching dan Bor Yang melawat tapak enam buah rumah yang terbakar di Taman Kulai, Kulai pada Khamis.
Nie Ching dan Bor Yang melawat tapak enam buah rumah yang terbakar di Taman Kulai, Kulai pada Khamis.
A
A
A

KULAI - Keputusan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang mengumumkan keluar DAP berkuat kuasa serta-merta pada Khamis tidak memberi kesan terhadap kempen Pakatan Harapan (PH) terutama parti itu yang berbaki dua hari lagi.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, pada masa ini terpulang kepada pengundi untuk membuat penilaian terhadap tindakan mengejut bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu.

Jelasnya yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, parti tiada hak untuk menghalang tindakan Ramasamy namun mengambil pendirian sentiasa bersangka baik terhadap keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu.

"Sebenarnya bukan di Pulau Pinang sahaja tetapi juga di Selangor, ada beberapa bekas Exco dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak dicalonkan semula dalam PRN (pilihan raya negeri).

"Kita dapat lihat reaksi mereka berbeza, ada yang masih kempen untuk calon (walaupun tidak) dinamakan (sebagai calon) tetapi ada mereka yang masih beri 'blessing' (restu atau kepercayaan) dan bantu calon berkempen.

"Ada juga yang buat keputusan untuk keluar parti apabila tidak dicalonkan, jadi jelas untuk rakyat lihat siapa yang setia pada parti dan mungkin (ada bekas ADUN DAP) melihat menjadi calon lebih penting daripada agenda parti," katanya mengulas tindakan Ramasamy sama ada memberi kesan terhadap PH dan DAP selepas beliau digugurkan daripada menjadi calon PRN Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan memberi sumbangan wang tunai kepada enam keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Taman Kulai di sini pada Khamis.

Turut hadir ADUN Senai, Wong Bon Yang.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Ramasamy mengumumkan keluar DAP serta merta dan mengesahkan sudah menghantar surat keluar parti kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri pada jam 8.24 pagi Khamis.

Pada 27 Julai lalu, media melaporkan, Ramasamy mempersoalkan tindakan DAP menggugurkan beliau dan beberapa Exco lain daripada bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Ditanya sama ada tindakan DAP menggugurkan bekas ADUN mereka daripada bertanding semula dalam PRN sebagai tindakan 'memakan diri', Nie Ching berkata, perkara itu biasa berlaku dalam mana-mana parti apabila ada bekas wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula.

"Saya rasa ini adalah 'common' (biasa berlaku) dan bukan dalam DAP sahaja, sama ada PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan UMNO juga gugur ahli veteran mereka, jadi ini perkara normal, takkan kita akan letak mereka selama-lamanya," soalnya.

Jelasnya yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital berkata, parti mahukan pembaharuan dengan menampilkan calon-calon muda dan menyifatkan perkara itu sebagai proses yang normal.

Sebagai contoh katanya, calon DAP di DUN Senai berbeza-beza untuk pilihan raya pada 2013, 2018 serta 2022 dan pertukaran tersebut tidak menjadi masalah kepada parti.

"Mereka (bekas calon) buat kerja untuk parti. Mereka juga jalankan tanggungjawab dan tetap aktif dalam parti kalau ada orang tidak dicalonkan, mungkin mereka sedih, tetapi bagi parti, jika tiada perubahan daripada segi calon, anda rasa bagaimana parti ini hendak menarik calon atau bakat baru ke dalam parti kita," soalnya lagi.