PRN: BN-PH sasar tawan 19 kerusi bentuk kerajaan Terengganu

Nik Dir (empat dari kanan) bersama jentera parti sempena Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Terengganu, di Wakaf Tapai, di Marang.
Nik Dir (empat dari kanan) bersama jentera parti sempena Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Terengganu, di Wakaf Tapai, di Marang.
A
A
A

MARANG - Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sasar menawan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini bagi membentuk kerajaan baharu di Terengganu.

Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, beliau yakin 10 kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu akan dipertahankan serta akan merampas sembilan lagi kerusi dikuasai Pas.

"Kita yakin 10 kerusi itu kita dapat pertahankan dan sekarang kita sedang berusaha mencari beberapa lagi kerusi di Terengganu bagi membolehkan kita membentuk kerajaan walaupun dengan simple majority (majoriti mudah).

Nik Dir
Nik Dir

"Setakat ini 10 kerusi yang telah dikenal pasti melibatkan lapan kerusi yang kita (BN) tewas bawah 500 undi manakala dua lagi kerusi tewas bawah 1,000 undi pada pilihan raya lalu.

"Kita yakin 10 kerusi yang kita tewas bawah 1,000 undi ini dapat kita rampas kembali dengan sokongan gelombang kesedaran terutamanya anak-anak muda yang mengakui 'tersilap pangkah' pada PRU15 lalu,"katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Terengganu, di Wakaf Tapai, di sini, malam Rabu.

Menurut Nik Dir, gabungan itu juga menyasarkan untuk menawan sekurang-kurangnya 18 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

"Kita yakin ada peluang cerah untuk tawan empat kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) bawah Parlimen Besut iaitu di Hulu Besut, Kuala Besut, Kota Putera, Jetih serta empat kerusi di Parlimen Setiu iaitu Jabi, Langkap, Permaisuri dan Batu Rakit.

Artikel Berkaitan:

"Dengan gabungan baharu ini, kita juga percaya mampu mengembalikan kepimpinan Kerajaan Perpaduan di Terengganu. Insya-ALLAH, DUN Ladang dan DUN Bandar akan kembali ke pangkuan BN.

"Selain itu, kita juga yakin mampu mengekalkan kerusi DUN Seberang Takir. Kita juga menyasarkan untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi di Marang manakala Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman kita yakin paling kurang dapat tiga kerusi," katanya.

Selain itu, Nik Dir berkata, mereka yakin manifesto ditawarkan BN pada PRN kali ini merangkumi lima kluster dan 49 perkara diterima baik oleh pengundi.

"Sebenarnya 80 peratus daripada manifesto ini BN telah laksanakan ketika jadi kerajaan sebelum ini.

"Sebab itulah tak banyak pertambahan dalam manifesto kali ini iaitu sekitar 20 hingga 25 peratus sahaja dan kita yakin ianya mampu dilaksanakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Dir menyangkal dakwaan bahawa sokongan terhadap BN semakin hambar disebabkan penolakan penyokong parti itu terhadap DAP.

"Isu ini sebenarnya tidak timbul malah kita telah berjaya menjelaskan hala tuju kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP.

"Mereka juga telah faham dan sedar bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah individu penting yang telah berjaya menyelamatkan UMNO ketika ia mahu dikuburkan oleh Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum ini, "kata beliau.