Pengedar dadah maut terjun van polis ketika ditahan

Mazlan
Mazlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengedar dadah yang ditahan polis maut selepas tindakannya terjun daripada van pasukan terbabit ketika melalui di hadapan sebuah kondominium di Cheras, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, lelaki tempatan berusia 43 tahun terbabit dikatakan dalam perjalanan untuk dibawa ke lokap selepas pemeriksaan mendapati dia membawa dadah jenis ekstasi, syabu serta kanabis bersamanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ketika dalam perjalanan, suspek yang juga merupakan pemandu teksi itu secara tiba-tiba membuka pintu van terbabit dan bertindak terjun untuk meloloskan diri ketika van sedang bergerak.

Menurutnya, bagaimanapun, suspek yang masih bergari itu jatuh tersembam ke atas jalan raya.

“Suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

"Sehubungan itu, kita akan mengambil keterangan dua anggota terlibat berpangkat Lans Koperal untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek ini memiliki empat rekod jenayah lampau selain terlibat mengedar dadah secara kecil-kecilan.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan, Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: