Tokoh qariah negara Datuk Rogayah Sulong meninggal dunia

Tokoh qariah negara Datuk Rogayah Sulong, 81, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) awal pagi Rabu.
Tokoh qariah negara Datuk Rogayah Sulong, 81, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) awal pagi Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tokoh qariah negara Datuk Rogayah Sulong, 81, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi tadi.

Cucu saudaranya Mohd Faizal Hassan, 39, berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 8.17 pagi tadi selepas tiga hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

Rogayah bergelar johan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan sebanyak tujuh kali dan johan Musabaqah Al-Quran antarabangsa sebanyak empat kali sekitar 1960-an dan 1970-an

"Allahyarham pernah menerima anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah pada 2012,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, usaha Rogayah mendekatkan ayat-ayat suci kepada masyarakat dan berkongsi ilmu membaca al-Quran dengan tajwid yang betul serta berlagu telah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri sehingga beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Terengganu pada 2010.

Mohd Faizal berkata, Rogayah pada hujung usianya tetap aktif mengajar al-Quran.

"Allahyarham yang mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Megat Othman Megat Chik tiada anak, jadi ibu saya yang merupakan salah seorang anak saudaranya, dipelihara oleh arwah sejak kecil,” katanya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas zuhur di tanah perkuburan Islam Kampung Banggol Tuan Muda dekat sini. - Bernama

Artikel Berkaitan: