Lopetegui jurulatih pertama tinggalkan EPL

Lopetegui. - Foto Agensi
Lopetegui. - Foto Agensi
A
A
A

JULEN Lopetegui menjadi jurulatih pertama meninggalkan pasukan menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu ini.

Jurulatih itu berpisah secara baik dengan Wolverhampton Wanderers selepas dilaporkan dia tidak berpuas hati dengan dasar pengambilan pemain kelab tersebut.

"Wolves dan Julen Lopetegui sudah mencapai persetujuan untuk berpisah. Menamatkan tempoh sembilan bulan pengendali Sepanyol itu sebagai ketua jurulatih di kelab ini.

"Ketua jurulatih dan kelab mengakui serta menerima perbezaan pendapat mengenai isu tertentu.

"Kelab bersetuju bahawa penamatan kontraknya secara baik adalah penyelesaian terbaik untuk semua pihak," kata Wolves dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bekas ketua jurulatih Bournemouth, Gary O'Neil, yang dipecat musim panas lalu, dilaporkan akan menggantikan Lopetegui.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Wolves dan semua yang berada di kelab ini.

"Terima kasih kepada kelab atas peluang yang diberikan. Ini sebuah kelab yang hebat," ujar Lopetegui.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih berusia 56 tahun itu merupakan bekas pengendali Sepanyol dan Real Madrid menyertai Wolves pada November tahun lalu menggantikan Bruno Lage.

Ketika itu Wolves menghuni tangga tercorot EPL dan Lopetegui membantu mereka kekal di liga utama tersebut apabila menamatkan saingan di tempat ke-13.

Bagaimanapun dia dikatakan kecewa dengan pendekatan kelab berhubung perpindahan pemain apabila beberapa tonggak meninggalkan kelab, namun penggantinya terhad.

Wolves menjual Ruben Neves, Conor Coady, Nathan Collins dan Raul Jimenez tetapi hanya membawa masuk dua pemain secara percuma iaitu Matt Doherty dan Tom King.