Sambutan terhadap BN semakin meningkat - Ismail Sabri

Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika menghadiri program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah.
Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika menghadiri program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah.
A
A
A

SHAH ALAM - Sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) semakin meningkat walaupun terdapat beberapa negeri tertentu merupakan kubu kuat parti pembangkang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan respon yang diperoleh beliau ketika turun berkempen di beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Terengganu.

"Saya sudah pergi ke beberapa tempat seperti di Negeri Sembilan, dua kawasan Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin. Saya pergi ke Terengganu di Besut.

"Nampak progresnya begitu baik. Saya lihat dari segi tempat ke tempat yang saya pergi, sokongan secara terbuka kepada Barisan Nasional amat jelas, walaupun negeri-negeri tertentu seolah-olah parti lain itu begitu kuat tapi apabila saya pergi, sambutannya amat memberangsangkan.

"Jadi saya rasa ini merupakan isyarat kepada undi yang akan diberikan 12 Ogos nanti," katanya selepas menghadiri program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah pada malam Isnin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar.

Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, sukar untuk menjangkakan gelombang yang sama dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut berlaku dalam PRN kali ini.

"Saya mungkin tak pergi ke semua negeri tetapi di kawasan yang saya pergi seperti di di Felda Sungai Kelamah, sambutannya meriah dan responnya begitu positif pada BN.

Artikel Berkaitan:

"Di sini dan juga Besut merupakan kubu UMNO. Jadi sambutan memberangsangkan dan saya harap sambutan di sini dan Terengganu sama di tempat lain," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!