PRN: Semua pusat pengundian awal ditutup

Petugas SPR membawa keluar peti undi selepas pusat pengundian di Bilik Maklumat Balai Polis Kerteh ditutup tepat pada 12 tengah hari. - Foto Bernama
Petugas SPR membawa keluar peti undi selepas pusat pengundian di Bilik Maklumat Balai Polis Kerteh ditutup tepat pada 12 tengah hari. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri ditutup pada 5 petang tadi.

Turut ditutup ialah tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.

Semua pusat pengundian awal di enam negeri termasuk di IPK Terengganu itu ditutup secara berperingkat seawal 12 tengah hari mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.

Di IPK Terengganu, pusat pengundian awal pertama ditutup ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada 12 tengah hari, diikuti DUN Bandar pada 2 petang dan yang terakhir DUN Ladang pada 5 petang, manakala tiada pusat pengundian awal bagi DUN Wakaf Mempelam.

Terdahulu, semua pusat pengundian awal PRN dibuka pada 8 pagi hari ini bagi memberi ruang kepada 97,388 pengundi awal terdiri daripada 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka selaku pengundi awal.

Pusat pengundian di IPK Terengganu juga dibuka pada waktu yang sama bagi memberi laluan kepada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan memilih calon untuk mewakili mereka di Parlimen Kuala Terengganu, yang merupakan PRK pertama diadakan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRK15).

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemaskini hingga 21 Jun 2023.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari penamaan calon hingga 11.59 malam, 11 Ogos.

Artikel Berkaitan:

PRN ini melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!