Malaysian Tigers kembali bertenaga, lebih kemas

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Jepun dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Chennai pada Isnin. - Foto Asian Hockey Federation / Hockey India
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Jepun dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Chennai pada Isnin. - Foto Asian Hockey Federation / Hockey India
A
A
A

PENGENDALI skuad hoki negara, Arul Selvaraj mengakui lega apabila Malaysian Tigers kembali semula ke rentak kemenangan Trofi Juara-Juara Asia selepas dibelasah India sebelum ini.

Malah, menurut Arul, kemenangan ke atas Jepun membolehkan pasukan hoki negara mengesahkan slot ke separuh akhir lebih awal dengan berbaki satu perlawanan.

"Saya gembira apabila para pemain berjaya mengawal permainan dengan baik dalam perlawanan ini.

"Malah para pemain berjaya menampilkan aksi dengan lebih kemas berdepan Jepun baik dari ball positioning serta pergerakan bola berbanding ketika menentang Jepun semalam.

"Esok (hari ini) kita akan berehat satu hari sebelum berdepan dengan Korea Selatan, dan kita juga akan buat post mortem kekalahan kepada India," kata Arul pada selepas perlawanan.

Selepas dibelasah 0-5 tuan rumah India pada Ahad, skuad hoki negara bangkit luar biasa apabila membelasah Jepun, 3-1 dalam perlawanan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, pada Isnin.

Tiga mata diraih anak buah Arul Selvaraj juga membolehkan Malaysian Tigers mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kejuaraan tersebut.

Skuad negara bermula garang apabila merobek gawang Jepun menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-13.

Artikel Berkaitan:

Gol itu menyuntik semangat juang para pemain Malaysian Tigers, namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan Razie Rahim dan Faizal Saari dalam bentuk gol.

Separuh masa kedua, Meor Muhammad Azuan Hassan melebarkan kedudukan pasukan negara apabila meledak gol kedua pada minit ke-37.

Shello Silverius kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan gol pada minit ke-59, sebelum Jepun merapatkan defisit hasil jaringan gol padang Takuma Niwa selepas itu.

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigers mengumpul sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan - menang ke atas Pakistan (3-1), China (5-1) dan Jepun (3-1) manakala tewas 0-5 kepada India.

Anak buah Arul akan berdepan dengan satu lagi gergasi Asia, Korea Selatan dalam perlawanan kelima pada Rabu ini.