PH-BN optimis tawan 19 kerusi DUN Kedah - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yakin mampu menawan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dalam usaha untuk mentadbir negeri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan pada hujung minggu pertama kempen serta dari segi gerak kerja jentera dan peluang untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Kedah.

"Selepas ini, saya akan ke DUN Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi memandangkan kedua-dua DUN tidak berada dalam radar potensi kemenangan parti pada awalnya kerana sebelum ini, kita lebih beri tumpuan di Sidam, Bakar Arang, Lunas, Bukit Selambau dan Kulim.

"Tetapi berdasarkan laporan semasa selepas habis minggu pertama berkempen, semua petunjuk memaparkan bahawa dua DUN ini antara yang berpotensi menyumbang kepada kemenangan," katanya kepada pemberita selepas menyantuni peniaga dan masyarakat di sini pada

Kedah memiliki 36 kerusi dengan kedudukan sebelum pembubaran DUN Kedah menyaksikan PN menduduki 20 kerusi (Pas-14, Bersatu-6); PH memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); BN memenangi dua kerusi (UMNO-2) dan Pejuang (2).

Dua lagi DUN kosong apabila wakil rakyat Gurun daripada PKR iaitu Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas apablia dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat manakala ADUN Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lepas.

Saifuddin Nasution juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH, dijangka berada di Kedah untuk kempen finale terakhir sempena PRN pada 11 Ogos ini.

"Semalam (Ahad), saya telah menghubungi Datuk Seri Anwar dan beliau telah bersetuju untuk masukkan kempen finale akhir PRN di Kedah pada 11 Ogos dalam jadualnya... kita akan berkempen di dua lokasi iaitu di Alor Setar dan Sungai Petani," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:'Anwar takut sebab itu kerap ke Kedah, Kelantan' - Mohd Amar

Ayer Hangat, Kuah dalam radar kemenangan baharu PH-BN

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!