Undi Awal: KPN saran semua warga PDRM tunaikan tanggungjawab esok

Petugas SPR membawa peti undi sebagai persiapan mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Pengundian Awal, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama
Petugas SPR membawa peti undi sebagai persiapan mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pusat Pengundian Awal, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyarankan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri, pada Selasa.

Razarudin berkata, seramai 47,728 pegawai PDRM dan pasangan mereka dijangka akan melaksanakan tanggungjawab di 260 pusat pengundian dengan 377 saluran mengundi telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Pusat Pengundian Awal.

"Tiada alasan untuk mana-mana pegawainya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, mengundi ini adalah satu hak yang diamanahkan kepada kita semua untuk dilaksanakan.

"Ini merupakan satu manifestasi kepada rakyat bahawa PDRM mendukung proses demokrasi dalam mengundi," katanya dalam satu rakaman ucapan pada Isnin.

Razarudin berkata, justeru itu semua warga PDRM dan pasangan yang terbabit dalam pengundian awal diminta melaksanakan akauntabiliti mengundi.

Razarudin.
Razarudin.

"Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bertugas kepada semua warga PDRM yang terbabit sejak proses Penamaan Calon, tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada Sabtu ini (12 Ogos) serta pasca PRN.

"Kepada para petugas PDRM laksanakanlah amanah ini dengan penuh dedikasi dan berhemah, kekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, kawalah emosi ketika berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi," katanya.

Razarudin berkata, setiap warga PDRM perlu menanamkan niat serta tekad yang tinggi untuk melaksanakan setiap amanah yang diberikan dengan penuh integriti ikhlas dan sabar.

"Saya turut mendoakan segala usaha para petugas PDRM dijauhkan dari sebarang bencana," katanya.