'Sanusi jadi beban kempen, dok bagi peluru kepada lawan' - Rafizi

Ciapan Rafizi pada Isnin.
Ciapan Rafizi pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Perikatan Nasional (PN) terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa merasakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini menjadi beban kempen pilihan raya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa, ia kerana Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu sentiasa beri 'peluru' kepada parti lawan untuk menyerang gabungan parti berkenaan.

Katanya, itu sebab sebenar Sanusi tidak hadir ceramah mega PN kerana parti itu mengatakan ketidakhadiran penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri untuk elak masuk perangkap musuh.

"Perangkap pula dah.Pandangan saya, drama 'perangkap' ni alasan kepada sebab sebenar.

"Sanusi tak boleh kawal mulut, habis kena maki dengan dia dan sekarang pimpinan PN (terutamanya Bersatu) rasa Sanusi jadi beban kempen sebab dok (asyik) bagi peluru kepada lawan," ciapnya menerusi Twitter pada Isnin.

Media terdahulu melaporkan, ketiadaan Sanusi pada ceramah mega PN di padang awam Taman Ria, Sungai Petani, Kedah malam Ahad adalah untuk tidak masuk perangkap yang dipasang oleh musuh.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mengumumkan Sanusi tidak dapat hadir berkata, Pengerusi PN Kedah tersebut dinasihatkan agar tidak meneruskan ceramahnya pada malam itu.

"Ini kerana ada perangkap yang dipasang oleh musuh, perangkap itu menghendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan," kata Afnan Hamimi.

Sanusi sebelum ini dilaporkan akan berdepan dengan tindakan undang-undang daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Berjaya Land Berhad.

Ia ekoran tuduhan yang dibuat Sanusi kononnya Amirudin terlibat skandal dengan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek Gerbang Maritim Selangor.