Pengundi pilih parti, bukan populariti - Tengku Zamrah

Tengku Zamrah ketika berkempen di Taman Dusun Setia, Ampangan
Tengku Zamrah ketika berkempen di Taman Dusun Setia, Ampangan
A
A
A

SEREMBAN - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman menyifatkan peluangnya untuk menang kerusi berkenaan cerah berikutan pengundi di kawasan itu akan membuat pilihan atas faktor parti dan bukan populariti calon.

Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Seremban berkata, hasil pemerhatian sepanjang tempoh berkempen sejak 29 Julai lalu mendapati sokongan pengundi lebih terarah kepada Kerajaan Perpaduan.

Justeru katanya, situasi itu membangkitkan semangatnya untuk terus menawarkan khidmat terbaik kepada penduduk setempat meskipun sesetengah pihak membandingkan kewibawaannya dengan penyandang DUN berkenaan.

“Setakat ini Alhamdulillah, kebanyakan penduduk yang ditemui memberi maklum balas positif dengan menyatakan akan memilih calon mewakili kerajaan pusat berbanding melihat dari sudut calon muka baharu atau lama.

“Selain itu mereka memberi keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan akan membawa kebaikan kepada negara, malah melihat wujud kesepakatan saya dan jentera BN yang bergabung ketika turun berkempen,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tengku Zamrah
Tengku Zamrah

Dalam pada itu Tengku Zamrah tidak menafikan perlu bekerja lebih kuat dalam usaha memenangi hati pengundi di kawasan DUN Ampangan.

Ini kerana katanya, pemahaman rakyat mengenai gabungan PH-BN masih perlu diperjelaskan sebaik mungkin sekali gus membina keserasian antara penyokong kedua-dua parti.

“Kita kena kerja kuat, kalau mereka jalan 10 langkah, kita kena 100 langkah. Kita mendekati masyarakat menerusi ceramah-ceramah kelompok, menyantuni mereka di kawasan awam dan ziarah rumah ke rumah,” ujarnya.

Sebagai rekod, DUN Ampangan disandang Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang merupakan bekas pemimpin PKR yang kini bertandig tiket Bebas.

Beliau pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan.

Selain Tengku Zamrah dan Mohamad Rafie, DUN Ampangan turut menjadi rebutan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ghazali Zainal Abidin.