Tidak wajar jadikan guru seperti orang gaji

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

MERAK Jalanan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah. Tujuan Merak Jalanan menerima jawatan tersebut adalah sambil berbakti kepada sekolah dapat juga mengintai aktiviti anak sendiri.

Jadi syukurlah Merak Jalanan terpilih sebagai PIBG (walaupun sebenarnya terpaksa kerana ibu bapa lain tidak mahu memegang jawatan). Tak mengapalah, Merak Jalanan cuba yang terbaik.

Sebagai AJK, Merak Jalanan dapat tahu pelbagai keluhan ibu bapa. Antara yang paling popular adalah masalah tandas, harga makanan kantin yang dikatakan tinggi serta tahap kebersihan yang diragui walaupun bertaraf A.

Ada juga berlaku masalah kelas panas kerana kipas rosak, peniaga di luar pagar sekolah, pelajar berlari hingga ada yang kena tolak ketika waktu balik dan pelbagai lagi.

Semua ini antara persoalan-persoalan yang sering dikemukakan oleh ibu bapa dalam grup Telegram sekolah. Apabila seorang membuka cerita, pasti akan disahut oleh ibu bapa lain yang berada di dalam grup tersebut menceritakan pengalaman anak masing-masing.

Jangan salah anggap, Merak Jalanan tidak ada masalah dengan keluh kesah ibu bapa tersebut. Semua maklumat tersebut perlu dan berguna untuk pengetahuan ibu bapa yang lain. Sekurang-kurangnya ibu bapa yang sibuk dengan kerja dapat sedikit info berkenaan sekolah.

Dengan cara ini mereka boleh bertanyakan serta terus menasihati anak masing-masing supaya lebih berhati-hati dan pandai membawa diri.

Namun apa yang kadangkala Merak Jalanan terasa ralat sedikit adalah bahasa yang digunakan oleh sesetengah ibu bapa. Sebagai ibu bapa kita seharusnya menunjukkan teladan yang baik apabila berkata-kata.

Elak gunakan perkataan-perkataan yang boleh menimbulkan kebencian pada orang lain. Contohnya apabila guru lambat respons terus melenting dan beritahu di dalam grup, guru tidak memberi kerjasama.

Dengan begitu, persepsi orang lain terhadap keseluruhan guru akan sedikit hilang rasa hormat sedangkan guru juga manusia biasa yang perlu rehat seperti kita semua. Guru bukan bertugas 24 jam sehingga perlu respons pada waktu malam.

Merak Jalanan bukanlah nak back-up para guru, namun itulah realitinya apabila ada segelintir ibu bapa yang seolah-olah menjadikan guru sebagai ‘orang gaji’, ‘bodyguard’ supaya menjaga hal ehwal persekolahan anak mereka dari A hingga Z dan dari pagi hingga malam.

Kesimpulannya, pandai buat maka pandailah jaga anak sendiri.