Japen perlu kaji kesesuaian pusat media semasa pilihan raya - Fahmi

Fahmi (tengah) melawat Pusat Media PRN Selangor di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Langat, Telok Datok, Banting, pada Ahad. - Foto Bernama
Fahmi (tengah) melawat Pusat Media PRN Selangor di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Langat, Telok Datok, Banting, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

TELOK PANGLIMA GARANG - Kementerian Komunikasi dan Digital akan meminta Jabatan Penerangan (Japen) membuat kajian dan post mortem mengenai kesesuaian dan bentuk pusat media yang dibuka oleh jabatan itu sempena musim pilihan raya agar memenuhi keperluan semasa pengamal media.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana beliau melihat realitinya golongan pengamal media lebih banyak berada di lapangan untuk mendapatkan bahan berita semasa tempoh pilihan raya.

"Hari ini saya membuat lawatan di satu daripada dua buah pusat media yang dibuka di bawah Japen iaitu di Kuala Langat (satu lagi di Sabak Bernam) yang dibuka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan mendapati kelengkapan dan kemudahan ada disediakan,” katanya kepada media, di Sijangkang dekat sini pada Ahad.

Namun ketika PRN ini ramai petugas media lebih banyak berada di lapangan dan saya akan minta Japen untuk kaji dan lakukan post mortem nanti untuk menyesuaikan pusat media dengan realiti tugas para pengamal media, katanya.

Katanya, beliau akan meminta Japen meneliti sama ada pusat media ini seharusnya dibuka secara fizikal atau boleh beroperasi hampir keseluruhannya secara maya (virtual), selepas selesai PRN nanti.

Terdahulu, Fahmi melakukan Ziarah Kasih bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Al-Hafizi Abu Bakar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang ke sebuah rumah yang dihuni oleh seorang warga emas, Molkan Zainuddin, 79, yang menghidap strok.

Katanya lawatan itu merupakan program yang diusahakan kementeriannya dalam membantu mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik melalui program yang disediakan Kerajaan Persekutuan dan negeri. - Bernama