Pas tidak ajar budaya kafirkan parti lain - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu menerapkan budaya ekstrem seperti mengkafirkan penyokong dan parti lain.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pimpinan parti tidak sewenang-wenangnya melabelkan orang sebagai kafir secara mutlak dan menghukum sama ada seseorang itu penghuni syurga atau neraka.

“Kami (Pemuda Pas) membesar dalam situasi tidak melabelkan orang sebagai secara mutlak atau orang itu ke neraka atau ke syurga,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Ahmad Fadhli berkata demikian menjelaskan isu seorang nenek penyokong parti Pas yang mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular baru-baru ini.

Beliau menegaskan, segala yang dikatakan menerusi video berkenaan adalah pandangan peribadi wanita itu sendiri yang tidak pernah diajarkan oleh Pas, khususnya pimpinan parti sekarang.

Tangkap layaran hantaran Ahmad Fadhli di Facebook pada Ahad.
Tangkap layaran hantaran Ahmad Fadhli di Facebook pada Ahad.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli meminta supaya isu tersebut dapat diperbetulkan supaya tidak ada lagi budaya mengkafirkan sesama sendiri.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi ulasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan budaya kafir-mengkafir.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, hanya ALLAH SWT yang layak untuk menentukan sama ada manusia ke syurga atau neraka dan bukannya manusia.

Tambahnya, manusia dilarang untuk terus menghukum hanya kerana segelintir daripadanya tidak mengetahui atau jahil dalam sesuatu perkara, sebaliknya saling menasihati antara satu sama lain.

Ujar Ahmad Fadhli, perkara tersebut merupakan ideologi yang diajarkan kepada Pemuda Pas dan juga ahli parti itu kerana agama mengajarkan supaya menasihatkan orang lain supaya tidak terjebak dalam unsur kejahatan.

“Agama adalah nasihat, maka menasihati orang lain supaya tidak terjerumus ke dalam neraka atau melakukan kejahatan merupakan satu intipati agama, bukan melabelkan kafir dan sebagainya,” kata beliau.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!