KMJ: Jual kuih vadai dapat erat perpaduan kaum

Siti Badriah Abdullah dan rakannya Sharifah Abu Bakar, menunjukkan kuih vadai yang dimasaknya. - Foto Kelab Media Johor
Siti Badriah Abdullah dan rakannya Sharifah Abu Bakar, menunjukkan kuih vadai yang dimasaknya. - Foto Kelab Media Johor
A
A
A

TANGKAK - Biarpun dilahirkan dalam keturunan Melayu, peniaga kecil wanita dari Taman Sialang di sini memilih untuk menjalankan perniagaan menjual kuih tradisional masyarakat dari India Selatan, Vadai.

Siti Badriah Abdullah, 32, dan rakannya Sharifah Abu Bakar, 38, memulakan bisnes kecil-kecilan dengan membuka gerai di hadapan Rumah Pangsa Bukit Kontang, di sini.

“Kami memilih berniaga menjual kuih tradisional masyarakat India ini kerana semua kaum suka makan.

“Jadi dengan cara ini juga kami dapat mengeratkan ikatan perpaduan antara kaum.

“Bukan kaum India sahaja yang datang beli kuih ini, orang Melayu dan Cina pun suka makan, resipi memang kami belajar dari nenek moyang kami yang juga berketurunan India,” katanya ketika ditemui di Pekan Sagil di sini pada Ahad.

Orang ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Tunku Idris di lokasi. - Foto Kelab Media Johor
Orang ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Tunku Idris di lokasi. - Foto Kelab Media Johor

Dalam pada itu, mereka meluahkan rasa bertuah apabila terpilih untuk menyediakan santapan minum petang buat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim serta adindanya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Tunku Puteri Johor, Tunku Abu Bakar dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Rombongan keluarga Diraja Johor itu singgah di lokasi terakhir Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 hari kedua kira-kira pukul 2.30 petang, selepas menempuh perjalanan sejauh 281 kilometer (km) bermula dari Istana Flinstone, Mersing.

Tunku Idris Iskandar serta adindanya kemudiannya berkenan beramah mesra dengan masyarakat India dan penduduk Pekan Sagil kira-kira hampir 30 minit sebelum berangkat meninggalkan majlis dan beristirehat serta bermalam di Istana Muar.

Keluarga Diraja Johor akan meneruskan KMJ 2023 pada hari ketiga esok merentasi perjalanan sejauh 176 km.