PRN: Buat pilihan bijak, elak berdepan kerosakan - Anwar

Anwar yang juga Pengerusi PH berucap pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Flat Kampung Melayu Air Itam pada malam, Sabtu. - Foto Bernama
Anwar yang juga Pengerusi PH berucap pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Flat Kampung Melayu Air Itam pada malam, Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat di negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) disaran agar menggunakan pentas Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) dengan sebaik mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pengundi agar membuat pilihan yang bijak supaya dapat mengelakkan daripada kerosakan (pentadbiran negeri).

Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, rakyat harus mengambil iktibar di negeri-negeri di bawah pemerintahan PN.

"Sebab itu saya nasihatkan (supaya) pilihan raya ini kita selamatkan negeri kita. Jangan bagi sikit isyarat (menang), baik Melayu, Cina, India mahupun kaum lain. Jangan buat main.

"Jangan abaikan hak anda (untuk mengundi). Kamu putuskan mana yang anda mahu jadikan kerajaan.

"Kalau anda bertolak ansur dan main-main dengan undi, mereka (PN) menang dan akan jadi rosak negara kita.

"Apa dia (PN) buat di negeri ditadbir mereka? Dia ingat dia bersih, bersih apa sampai masuk mahkamah? Bukan kerja saya (mendakwa), tetapi badan penyiasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO.

Presiden PKR itu turut menegaskan supaya pengundi jangan lagi tertipu dengan segala janji yang tidak mampu ditunaikan.

"Tengok masalah air di Kelantan, kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah serta (isu) Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

"Justeru, kita mesti pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga pilihan raya akan datang (PRU16). Saya mahu Pulau Pinang, Kedah dan semua negeri yang ada PRN bagi sokongan kepada calon kita," katanya lagi. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!