PRN: Pengundi muda dijangka meningkat

Adam Adli.
Adam Adli.
A
A
A
GEORGE TOWN - Jumlah pengundi muda (U18) dijangka meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas golongan itu kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Adam Adli berharap jumlah pengundi muda itu dapat memberikan mandat terhormat ke arah pemilihan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan selepas pengundian pada 12 Ogos ini.

"PRU telah memberikan mereka (Undi18) kesedaran (kepentingan mengundi) daripada pengalaman hidup sebenar,” katanya kepada media selepas pelancaran Program Fit Malaysia peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pengundi telah memahami tanggungjawab mereka dan yakin dengan keputusan mereka untuk melaksanakannya mengikut keperluan negara dan masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Sementara itu, pelancaran Program Fit Malaysia peringkat Pulau Pinang merupakan acara pembuka tirai bagi program peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Terengganu pada 19 Ogos di bandar Baru Kuala Nerus.

Adam Adli berkata, program berkonsepkan karnival kesihatan itu telah mencapai sasaran penyertaan 11,000 rakyat Pulau Pinang daripada semua peringkat umur yang menyertai aktiviti seperti fun ride sejauh 10 kilometer (km) dan 30km, fun walk 3km serta pesta kecergasan dan kesihatan.

"Program Fit Malaysia kemudian akan menjelajah ke seluruh negara dan tiba di destinasi terakhir di Dataran Pahlawan Putrajaya pada 14 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, program itu merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk membudayakan dan mempopularkan sukan dalam komuniti dengan amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat selaras dengan kerangka Malaysia Madani. - Bernama.