Bot karam: Tekong dikhuatiri lemas, dua nelayan selamat

Mat Rifin (gambar kecil) dikhuatiri lemas, manakala dua nelayan selamat dalam insiden bot karam di perairan Kuala Pahang pada Khamis.
Mat Rifin (gambar kecil) dikhuatiri lemas, manakala dua nelayan selamat dalam insiden bot karam di perairan Kuala Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang tekong warga Thailand dikhuatiri lemas, manakala dua nelayan selamat dalam insiden bot karam di kedudukan 26.8 batu nautika perairan Kuala Pahang pada Khamis.

Mangsa yang dipercayai hilang ialah Mat Rifin Awang Kecik atau panggilan Makhtar yang berusia 66 tahun manakala Sabudin Panoh, 51, dan Mohd Hafizi Awang Kecik, 30, terselamat dalam kejadian tersebut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) diaktifkan jam 3.10 petang, Sabtu setelah Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan berkaitan insiden terbabit.

Menurutnya, bot rondaan Maritim Malaysia sedang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan terus diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi pencarian awal mangsa.

"Berdasarkan maklumat daripada salah seorang mangsa yang selamat, bot berkenaan dikatakan dipukul ombak sehingga bot terbalik sekitar pukul 2 pagi hari kejadian.

"Dua mangsa yang terselamat sempat berpaut pada tong minyak dan hanyut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian sebelum ditemui dan diselamatkan nelayan tempatan sekitar jam 9 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, bot tersebut karam sepenuhnya dan kedua-dua mangsa terselamat, namun tidak dapat memastikan sama ada Mat Rifin turut terjun ke laut atau tidak.

Tambahnya, ketika insiden tersebut, tekong terbabit dikatakan berada di dalam anjungan bot tidak berbaju dan hanya berkain pelikat.

"Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket keselamatan," katanya.

Kamal Ariffin dalam kenyataan memaklumkan, operasi carilamat diteruskan dengan keluasan sektor pencarian hari kedua kira-kira 22.95 batu nautika persegi dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi bot karam dan turut dibantu oleh bot nelayan tempatan.

Sebarang aduan dan maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!