PN bentang 7 tunjang utama, 25 pendekatan, 112 tawaran

Pakej terkandung di dalam tawaran yang bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’

A
A
A

Muhyiddin (kiri) dan Azmin menunjukkan buku Tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” pada Jumaat.
Muhyiddin (kiri) dan Azmin menunjukkan buku Tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” pada Jumaat.



SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Ekonomi Madani dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dan bersifat sementara.

Menurutnya, pembentangan itu gagal dalam menyediakan satu pelan rangsangan dan pemulihan ekonomi secara menyeluruh dan segera yang amat diperlukan rakyat dan perniagaan pada masa ini.

"Sebaliknya, rakyat ditabur dengan gula-gula pilihan raya yang bersifat sementara dan masih belum kunjung tiba," katanya pada Majlis Pelancaran Tawaran PN Selangor di Hotel Double Tree, di sini pada Jumaat.

Inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Muhyiddin menambah, penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup rakyat masih belum terjawab dan segala janji manis mereka dahulu belum tertunai.

Beliau berkata, itulah realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat.

"Rata-rata mengeluh kerana harga barang yang terus mencanak naik, ramai peniaga terpaksa gulung tikar, ditambah pula dengan nilai ringgit masih tidak stabil dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) membebankan peminjam," ujarnya.

Beliau berkata, ini membuktikan kerajaan pada hari ini gagal memahami masalah rakyat, malah tidak cekap dalam serba-serbi sehingga saban hari menjadi bahan jenaka di media sosial.

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN

"Maka tidak hairanlah ada yang menyebut kerajaan ini sebagai kerajaan kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan dikendalikan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang tidak cekap atau 'incompetent'," katanya.

Sehubungan itu, demi membantu rakyat Selangor meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri, katanya, PN menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor.

"Pakej bernilai lebih RM2 bilion yang terkandung di dalam tawaran yang bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit ini merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran," jelasnya.

“Selangor Baharu, Kita Bangkit”

Demi untuk membantu rakyat di negeri Selangor meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri, PN menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion yang terkandung di dalam tawaran yang bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit”. Tawaran ini merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

TUNJANG 1: SEMARAK MASYARAKAT HARMONI

PN akan menyediakan dana khas Selangor Harmoni berjumlah RM10 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program yang memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Sebuah agensi khusus Kerajaan negeri juga bakal ditubuhkan bagi memperkasa usaha meningkatkan taraf sosioekonomi kumpulan minoriti khususnya masyarakat India dan komuniti Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

No Image Caption

TUNJANG 2: SEJAHTERAKAN KEHIDUPAN RAKYAT

- Memperuntukkan dana khas Tani Bangkit sebanyak RM100 juta kepada usahawan tani muda untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran agromakanan melalui penggunaan teknologi dan automasi.

- Mewujudkan Hab Mega Makanan melalui insentif Dana Makanan Selangor (DaMaS) bernilai RM150 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan berskala besar dan berteknologi tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

- Memperkenalkan program Kebun Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap kebun komuniti yang berpotensi untuk dikembangkan.

- Memperkukuhkan rantaian bekalan makanan di Selangor melalui rangkaian Gerai Prihatin Rakyat untuk menyediakan makanan asas pada harga berpatutan di setiap DUN.

- Memperkenalkan inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan sebanyak RM312 juta setahun. Inisiatif ini dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas.

- Mewujudkan inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun dengan menyalurkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur.

- Mengecualikan bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor Utara.

- Menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh Kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600.

- Mewujudkan skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda.

TUNJANG 3: JUNJUNG PRINSIP TADBIR URUS DAN POLITIK YANG BERSIH

- Sebuah Majlis Tindakan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor akan diwujudkan supaya tindakan-tindakan segera boleh diambil oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak industri untuk merancakkan semula ekonomi negeri Selangor dan menyegerakan penyelesaian masalah kos sara hidup rakyat.

- Sebagai langkah mengiktiraf peranan dan sumbangan sektor awam terhadap pembangunan negeri, elaun khas tahunan sekurang-kurangnya dua bulan gaji akan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam di negeri Selangor. Jika kedudukan kewangan mengizinkan, kita akan pertimbangkan tiga bulan gaji.

- Penggunaan teknologi digital dan data raya pula akan dioptimumkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan demi manfaat rakyat.

TUNJANG 4: EKONOMI MASA HADAPAN YANG UTUH

- Membina Selangor sebagai hab tenaga kerja masa hadapan dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi.

- Menjadikan Selangor sebagai negeri Just Energy Transition bagi menjamin kelestarian ekonomi masa hadapan.

- Memperuntukkan RM50 juta untuk memperkasa Invest Selangor bagi mempermudah serta mempercepat pelaburan industri masa hadapan bernilai tinggi.

- Memperuntukkan dana tambahan RM20 juta bagi meningkat dan meluaskan pasaran eksport produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi termasuk memperkenalkan inisiatif Buy Selangor Products di pasaran antarabangsa.

- Meningkatkan peluang latihan industri dalam agensi dan anak syarikat Kerajaan negeri dengan kadar elaun minimum RM1,500 sebulan untuk anak Selangor.

- Mewujudkan Pelan Industri Kreatif Selangor (PIKS) bagi mempergiat penglibatan belia dalam industri kreatif, termasuk animasi dan kebudayaan.

- Memperkenalkan inisiatif NextGen Selangor dengan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi menyediakan program coding, robotik dan cloud computing secara percuma untuk murid di negeri Selangor.

TUNJANG 5: WANITA TERAS MASYARAKAT DAN EKONOMI NEGERI

- Mewujudkan inisiatif Wanita BEST bagi memperkasa 30,000 perniagaan milik usahawan wanita yang berdaya saing melalui penyediaan geran sehingga RM10,000.

- Memperkenalkan inisiatif Srikandi Profesional (SriPro) dengan dana pemula sehingga RM50,000.

- Membina 20 Selangor Child Care Centre setahun yang dilengkapi kemudahan moden dan tenaga pengajar profesional.

- Memperuntukkan dana khas berjumlah RM50 juta kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja.

TUNJANG 6: MODAL INSAN GEMILANG

- Menubuhkan Akademi Sains Selangor dengan menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah yang memfokuskan pendidikan sains, teknologi dan inovasi.

- Mewujudkan dana pembelajaran khas sebanyak RM2 juta setahun bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

- Menyalurkan Dana Bantuan PIBG sebanyak RM5,000 setahun kepada semua sekolah Kerajaan di negeri Selangor termasuk SJK (C) dan SJK (T) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.

- Menawarkan insentif khas bagi sekolah tahfiz dan agama negeri untuk menyertai sistem kemahiran TVET.

TUNJANG 7: ALAM LESTARI DAN INFRASTRUKTUR BESTARI

- Program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.

- Menubuhkan Yayasan Perlindungan Alam Selangor bagi melindungi hutan rimba, taman alam, pesisiran pantai dan sungai.

- Menyediakan dana sebanyak RM10 juta sebagai insentif kepada NGO untuk pelaksanaan aktiviti serta program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

- Menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi masalah paip pecah dan melaksanakan program penggantian paip-paip lama di 100 kawasan hotspot.

- Memperuntukkan RM10 juta untuk inisiatif Alam Lestari sejajar usaha membudayakan amalan konservasi air, termasuk melalui rain water harvesting.

- Memperkenalkan rapid response team bagi mengambil tindakan pantas terhadap aduan berkaitan jalan berlubang dan kerosakan lampu jalan.

- Memperluas akses liputan capaian internet 5G di seluruh negeri.

ADVERTORIAL