'Fokus kita menang, tak penting siapa poster boy' - Ahmad Razif

Ahmad Razif ketika membuat tinjauan di Pusat Hemodialisis Seberang Takir pada Ahad.
Ahmad Razif ketika membuat tinjauan di Pusat Hemodialisis Seberang Takir pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Pemilihan siapa poster boy atau calon Menteri Besar tidak penting ketika ini, sebaliknya fokus yang perlu diberi keutamaan adalah memberi kemenangan terlebih dahulu kepada Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH) di Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Calon BN di Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, calon-calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras untuk memastikan hasrat merampas kembali Terengganu daripada Pas akan terlaksana.

“Kita sedia maklum keputusan untuk pelantikan Menteri Besar bukan kuasa kita (tetapi) presiden (parti) akan mencadangkan nama-nama calon (Menteri Besar) dan seterusnya nanti akan ditentukan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Jadi, tidak perlu kita sibuk-sibuk tentang hal ini (siapa poster boy). (Bagi saya) sesiapa pun yang akan dicalonkan tidak ada masalah kerana hal yang lebih penting hari ini kita perlu ambil alih pentadbiran Terengganu.

“Selepas itu, kita akan sama-sama meneruskan perjuangan kita untuk membangunkan semula negeri ini selepas lima tahun tidak ada apa-apa pembangunan (dilakukan Pas),” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Hemodialisis Seberang Takir pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai poster boy memandangkan BN-PH belum mengumumkan siapa calon yang akan dipilih menerajui negeri itu sekiranya Kerajaan Perpaduan berjaya merampas kembali pentadbiran di Terengganu pada 12 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, pengundi perlu memberikan sokongan kepada BN-PH kembali supaya lebih banyak pembangunan dapat dilakukan untuk kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, dalam tempoh lima tahun ditadbir Pas, rakyat dapat menilai sendiri apa yang dilaksanakan parti itu untuk rakyat di Terengganu.

“Kita tidak mahu lima tahun yang telah berlalu (terbuang) begitu sahaja dan akhirnya lima tahun lagi kita akan kehampaan. Jadi, rakyat dan pengundi Terengganu tiada pilihan.

“Kita beri undi kepada calon BN-PH untuk meneruskan perjuangan supaya seiring antara kerajaan negeri dan pusat nanti,” katanya.