Ada lagi kejutan ahli, pemimpin keluar UMNO - Nik Muhammad Zawawi

Nik Muhammad Zawawi ketika menyampaikan ceramah di Pangsapuri PKNS Seksyen 7, Shah Alam, pada malam Sabtu.
Nik Muhammad Zawawi ketika menyampaikan ceramah di Pangsapuri PKNS Seksyen 7, Shah Alam, pada malam Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh memberi bayangan akan berlaku lagi kejutan penghijrahan ahli dan pemimpin UMNO Kelantan ke dalam Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, momentum Tan Sri Annuar Musa membawa masuk pemimpin dan ahli UMNO untuk bersama PN kelmarin akan berterusan selepas ini bagi menjamin kemenangan Pas untuk diberi mandat terus mentadbir negeri itu.

“Beberapa hari lagi pula kita akan menyaksikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mustapha Mohamed isytihar anak buahnya di Jeli Kelantan sekarang ini sedang dipungut beramai-ramai untuk meninggalkan UMNO, BN di Jeli.

“Mereka akan berduyun-duyun bersama Pas dan Bersatu dan bukan setakat rakan dari UMNO malah dari parti PH (Pakatan Harapan) iaitu PKR, Amanah telah keluar parti dan menyertai Pas dan Bersatu,” dakwanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7 di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, calon PN Dun Kota Anggerik, Mohamed Sukri Omar.

Jelas Nik Muhammad Zawawi, selepas Gua Musang jatuh ke tangan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tidak ada lagi kerusi Parlimen di Kelantan dikuasai UMNO-BN.

“Kalau dalam PRU15 baru-baru ini Kelantan catatkan 15-0, selepas ini bayangkan berapa natijah yang akan dihasilkan dalam PRN kali ini.

“Jumlah kerusi DUN ada 45, jika diizinkan ALLAH SWT, kita mahu catat sejarah di Kelantan, sejarah sifar pembangkang 45-0,” ujar Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.

Dakwanya, situasi sama berlaku di Kemaman, Terengganu yang menjadi kawasan orang kuat UMNO dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Md Said, juga ramai telah memberi sokongan kepada PN.

“Terengganu pada PRU lalu tidak ada satu kerusi yang dimenangi UMNO dan penghijrahan ahli-ahli di Terengganu di daerah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu sampai ke Kemaman dengan setiap penghijrahan beramai-ramai dari UMNO menyertai PN,” ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!