Pola undi hampir sama dengan PRU15

Laporan muka depan Sinar Ahad.
Laporan muka depan Sinar Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Endeavour-MGC (EMGC) mendapati trend pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri di Selangor mungkin tidak jauh berbeza dengan corak pengundian semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Ini kerana firma tersebut mendapati sebanyak 62 peratus responden kerusi marginal (majoriti tipis) semua kaum dan 52 peratus pengundi kerusi marginal Melayu sahaja di negeri itu mengakui akan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Jumlah peratusan itu adalah sama ketika ditanya kepada 1,068 responden terbabit mengenai parti yang telah mereka pilih pada PRU15.

Dalam kajian yang dijalankan pada Julai lalu itu, sebanyak 22 peratus pengundi semua kaum dan 31 peratus pengundi Melayu pula mengatakan akan mengundi Perikatan Nasional (PN).

Ia menyaksikan blok PN mendapat kenaikan satu peratus sokongan undi baik daripada responden kerusi marginal semua kaum atau Melayu sahaja berbanding PRU15.

Trend sama turut berlaku kepada Barisan Nasional (BN) apabila sebanyak 11 peratus responden kerusi marginal semua kaum dan 10 peratus responden di kerusi marginal Melayu menyatakan akan memilih parti itu.

Ia merupakan kenaikan satu peratus pengundian daripada pelbagai kaum tetapi jatuh satu peratus untuk undi Melayu sahaja kepada BN pada PRU15.

Kaji selidik menunjukkan pola pengundian bagi PH, PN dan BN tidak mengalami perubahan ketara selepas PRU15.

Dapatan kaji selidik yang dijalankan EMGC.
Dapatan kaji selidik yang dijalankan EMGC.

Sementara itu, menurut Pengarah Penyelidikan dan Analisis EMGC, Selan Rajendran, trend pengundian yang hampir sama itu mungkin akan menyebabkan PH kehilangan lebih banyak kerusi DUN berbanding PRU14.

“Pada PRU14, PKR hanya tewas lima kerusi DUN masing-masing empat kepada BN dan satu kepada Pas.

“Jika trend pilihan pengundi Selangor daripada PRU15 berterusan semasa PRN enam negeri, PH mungkin hilang lebih lima kerusi terutama di kawasan-kawasan Parlimen yang mereka tewas seperti di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Kapar,” kata Selan.

Beliau bagaimanapun berkata, PN mungkin tidak boleh menang mudah memandangkan kerjasama PH dan BN menerusi Kerajaan Perpaduan bakal menyaksikan penyatuan undi penyokong kedua-dua parti berkenaan.

“Apatah lagi jika dilihat PN menang di enam kawasan Parlimen pada PRU15 dengan majoriti tidaklah terlalu besar iaitu paling tinggi di Kapar (11,782 undi), Sabak Bernam (5,056 undi), Sungai Besar (2,721 undi) dan Tanjung Karang (2,180 undi).

“Dua lagi kerusi Parlimen iaitu Hulu Selangor dan Kuala Langat PN menang dengan majoriti di bawah 2,000 undi,” katanya lagi.

Selain itu, kata Selan, blok PH dan BN mungkin mempunyai sedikit kelebihan pada PRN di Selangor apabila calon poster PH, Datuk Seri Amirudin Shari mendapat sokongan tinggi dalam kalangan responden.

“Lebih 77 peratus responden pelbagai kaum dan 70 peratus responden Melayu menyatakan mereka puas hati dengan prestasi keseluruhan pimpinan PH dan Amirudin.

“Hanya 23 peratus responden semua kaum dan 30 peratus responden menyatakan mereka tidak berpuas hati,” katanya.

Selain itu, lebih 73 peratus responden bersetuju mereka berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kaji selidik mengambil pendekatan persampelan rawak berstrata itu dilakukan pada 22 hingga 28 Julai lalu melibatkan responden yang berdaftar sebagai pengundi di 34 kerusi marginal iaitu semua kaum dan Melayu sahaja di DUN Selangor.

Dapatan kaji selidik yang dijalankan EMGC.
Dapatan kaji selidik yang dijalankan EMGC.

Daripada 1,068 responden terlibat, ia terdiri daripada 67.8 peratus Melayu, 15.6 peratus Cina, 12.4 peratus India dan 4.2 peratus lain-lain kaum dengan pecahan mengikut jantina adalah seimbang iaitu 50-50 antara lelaki dan wanita.

Margin kesilapan keputusan tinjauan pendapat awam yang melibatkan responden semua kaum ialah 3.0 peratus dengan 95 peratus keyakinan setiap responden.

Untuk rekod, kajian EMGC dibuat sebelum penamaan calon turut memasukkan Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Warisan.