Anwar bercita-cita jadikan Malaysia negara kuasa ekonomi

Anwar berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani pada malam Sabtu. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani pada malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kuasa ekonomi dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi.

Beliau berkata, pada masa ini, Malaysia sudah semakin baik dan kestabilan politiknya yang kian kukuh telah menarik minat banyak pelabur luar untuk melabur di negara ini.

Katanya, sebagai contoh kesediaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk berbincang dengan beliau untuk menzahirkan komitmen membuka ibu pejabat syarikat itu di Cyberjaya tahun ini.

Anwar berkata, ia merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada Malaysia susulan dasar ekonomi, termasuk Ekonomi Madani, yang diamalkan Malaysia selain kepimpinan telus Kerajaan Perpaduan.

"Impian dan cita-cita saya ialah menjadikan Malaysia kuasa ekonomi dan sebuah negara yang hebat untuk semua rakyatnya.

"Saya mahu negara ini kembali baik, ekonomi baik, negara baik dan rakyat bersatu," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Madani di Pekan Sungai Ara di sini malam Sabtu.

Beliau juga berkata perbuatan mencuri duit negara perlu dihentikan bagi menjadikan Malaysia sebagai contoh yang baik di dunia.

Anwar turut mengingatkan semua pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dan memilih parti politik yang dapat mewakili semua lapisan rakyat Malaysia.

"Anda mahu Pas, Bersatu perintah atau anda mahu Anwar, Anthony Loke serta kawan-kawan di UMNO dan GPS perintah.

"Anda mahu kerajaan Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum atau mahu kerajaan Melayu yang sakau... ia pilihan anda, tolong bantu selamatkan Pulau Pinang, selamatkan Malaysia," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya di Kampung Melayu di sini, Anwar menafikan pelaburan oleh penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG, dibawa masuk oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kulim, Kedah sebaliknya berkata, ia adalah usaha Kerajaan Persekutuan.

"MB Kedah kata ‘saya yang bawa pelaburan itu kerana perbincangan dua tahun lepas,’ inilah masalah politik, saya nak bagi tahu dia yang Infineon jumpa saya dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bagitahu nak melabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

"Ia projek Kerajaan Persekutuan... bulan sudah mereka kata nak melabur tapi belum tentu melabur di Malaysia kerana belum buat keputusan nak labur di mana, sama ada Amerika, Eropah dan negara lain tapi mereka tanya politik negara stabil atau tidak, saya jawab positif kita stabil dan kekal lima tahun lagi hingga pilihan raya akan datang.

"Empat hari lalu, mereka buat keputusan nak melabur di sini tapi MB Kedah kata dua tahun lepas dah bagitahu kat dia, dia boleh tengok kenyataan (ahli) lembaga (syarikat) yang memutuskan untuk melabur di Malaysia sebanyak EUR5 bilion empat hari lepas," katanya. - Bernama