Baja kompos, mud ball jana pendapatan tambahan penduduk

Tunku Ismail diberikan penerangan mengenai sisa organik dapur ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 singgah di Felda Bukit Aping Timur pada Sabtu. - Foto: Kelab Media Johor
Tunku Ismail diberikan penerangan mengenai sisa organik dapur ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 singgah di Felda Bukit Aping Timur pada Sabtu. - Foto: Kelab Media Johor
A
A
A

KOTA TINGGI - Penduduk Felda Bukit Aping Timur, di sini memiliki inisiatif tersendiri bagi menjana pendapatan tambahan dengan menjadikan bahan terbuang seperti serkam padi dan sisa organik dapur bagi menghasilkan produk yang bermanfaat.

Ahli Jawatankuasa Biro Ekonomi dan Keusahawanan Felda berkenaan, Saharuddin Azad Din berkata, antara produk yang terhasil daripada bahan terbuang berkenaan adalah seperti EM 'mud ball' yang melibatkan gabungan tanah liat, arang dan juga serkam padi.

Selain itu katanya, antara produk lain yang terhasil daripada bahan terbuang adalah seperti baja kompos daripada sisa organik dapur yang dikumpulkan daripada penduduk di sekitar kawasan Felda tersebut.

“Usaha membuat kedua-dua produk 'mud ball' dan baja kompos berkenaan dilakukan secara bergotong-royong, di mana hasil jualannya akan digunakan dalam komuniti untuk melaksanakan aktiviti.

“Ia biasanya dilakukan pada hujung minggu dan juga waktu lapang penduduk di sini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 pada Sabtu.

Untuk rekod, Felda Bukit Aping Timur yang juga merupakan lokasi kedua KMJ bagi pada hari pertama, selepas ini konvoi Diraja Johor itu akan singgah di Kulim Eco Trail Retreat di Ulu Tiram.

Pada KMJ kali ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat julung kalinya memimpin jelajah yang akan merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer bermula pada 5 hingga 8 Ogos 2023.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, mud ball dan juga baja kompos berkenaan, kini mempunyai pelanggan tetap seperti Majlis Perbandaran Penggerang, Majlis Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Setiap hari kita mampu menghasilkan kira-kira 60 hingga 100 biji 'mud ball' dan juga kira 20 bungkus baja kompos.

“Felda Bukit Aping Timur turut menerima Anugerah Khas dalam Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera Kebangsaan 2022, kerana aktif menjana pendapatan melalui penghasilan 'mud ball' dan baja kompos berkenaan,” katanya.