Kepakaran IPT, universiti perlu diangkat demi kemajuan negara - Anwar

Anwar (tengah) ketika menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Seberang Jaya pada Sabtu.
Anwar (tengah) ketika menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Seberang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti perlu diangkat bersama-sama kerajaan Pusat bagi memacu kemajuan negara dengan lebih pesat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bagi memastikan wujud sinergi dan kerjasama langsung dengan IPT serta universiti yang dapat dimanfaatkan oleh pentadbiran kerajaan Pusat.

"Saya akan meminta pengurusan IPT dan universiti memberikan laporan terperinci berkenaan kepakaran, tenaga akademik dan penyelidik yang dimiliki supaya dapat dipadankan dalam pentadbiran kerajaan Pusat.

"Perkara ini sudah lama dipraktikkan di China yang mana Malaysia masih lagi dengan pendekatan lama. Di China, sinergi antara kerajaan dan kepakaran di universiti itu begitu aktif dilakukan yang mana, ia akhirnya mendatangkan keuntungan kepada negara," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Seberang Jaya di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Persidangan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM itu turut melibatkan pembentangan sebanyak 76 kertas kerja oleh 91 individu dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk dari Malaysia dan Indonesia.

Anwar berkata, beliau akan meminta laporan yang lebih terperinci agar universiti boleh membekalkan penyelidik untuk disesuaikan di jabatan atau kementerian.

"Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ini menjadi kerugian kepada negara.

“Jadi saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan oleh kerajaan Pusat," katanya.

Tambah beliau, sekiranya ia dapat dilakukan dalam kadar segera, ekonomi negara akan dipacu dalam masa yang singkat.

“Sekiranya perkara ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbuhan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah di luar jangkaan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mendapatkan input daripada kepakaran yang dimiliki IPT dan serta universiti dalam merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

“Saya minta input, teguran, kritikan daripada akademik, saya okay, tidak ada masalah.

“Jangan bimbang kalau ada ahli akademik yang memberi pandangan sedikit menyimpang, saya tidak ada masalah.

“Sebab saya mahu kita bekerjasama sebagai satu pasukan, supaya ada sinergi yang jelas antara universiti dan Kerajaan. Saya juga akan minta Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Madani Kedua, pada Oktober ini supaya rangkum semua kekuatan yang ada pada kementerian, kerajaan dan universiti awam serta swasta,” katanya.