Pelaburan Infineon bukti Malaysia penting dalam rantaian semikonduktor

Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat Infineon pada Isnin. - Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat Infineon pada Isnin. - Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keyakinan berterusan syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan fokus di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik.

"Malaysia ialah hab penting bagi Infineon dalam pembuatan fabrikasi wafer (Kulim, Kedah) dan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip (Melaka).

"Ini terbukti melalui jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion yang telah dilakukan oleh syarikat di Malaysia sehingga kini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Infineon, syarikat yang telah beroperasi di negara ini selama 50 tahun (sejak 1973) semalam.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr Rutger Wijburg turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat itu. - Bernama