Terjun laut, sembunyi dalam semak elak ditahan

Dalam operasi selama hampir tiga jam itu, seramai 61 orang termasuk dua kanak-kanak membabitkan warga Myanmar, Thailand dan Indonesia berusia antara 7 hingga 55 tahun telah diperiksa. - Foto Jabatan Imigresen Perak
Dalam operasi selama hampir tiga jam itu, seramai 61 orang termasuk dua kanak-kanak membabitkan warga Myanmar, Thailand dan Indonesia berusia antara 7 hingga 55 tahun telah diperiksa. - Foto Jabatan Imigresen Perak
A
A
A

BAGAN DATUK - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin nekad terjun ke dalam laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam serbuan sekitar kawasan jeti pelantar ikan di Hutan Melintang dekat sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, kumpulan berkenaan turut menyembunyikan diri dalam semak selepas menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen yang menjalankan Op Bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, atas kecekapan anggota bertugas, semua individu yang cuba melarikan diri itu berjaya ditangkap.

"Kehadiran pasukan operasi di kawasan serbuan yang menempatkan bilik-bilik kediaman dan jeti bot nelayan menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Beliau berkata, sepanjang operasi selama hampir tiga jam itu, seramai 61 orang termasuk dua kanak-kanak membabitkan warga Myanmar, Thailand dan Indonesia berusia antara 7 hingga 55 tahun diperiksa.

Seramai 59 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, manakala dua lagi diserahkan kepada Maritim. - Foto Jabatan Imigresen Perak
Seramai 59 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, manakala dua lagi diserahkan kepada Maritim. - Foto Jabatan Imigresen Perak

Menurutnya, daripada jumlah itu, 59 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala dua lagi diserahkan kepada Maritim bagi tujuan siasatan.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah," katanya.

Hapdzan berkata, Jabatan Imigresen Perak akan sentiasa meningkatkan pemantauan dan operasi secara berterusan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat dan melaporkan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul," katanya.

Operasi disertai 35 pegawai Jabatan Imigresen Perak dan 30 anggota Maritim itu turut dibantu 26 pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya.