Kerajaan PH kekal bersatu, menolak ramalan penentang

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Walaupun menghadapi banyak cabaran dan perbezaan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap bersatu dan bekerjasama untuk membawa Malaysia kembali ke landasan, sekaligus menolak ramalan penentang-penentangnya bahawa gabungan itu tidak akan kekal.

"Tiada siapa menjangka kami akan menang, bahawa gabungan kami rapuh bahawa ia akan berpecah dalam masa singkat tetapi itu tidak berlaku. Kita mempunyai satu matlamat iaitu untuk membawa kembali Malaysia seperti yang kita kenal sebelumnya," kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara khas sempena ulang tahun pertama PH memerintah.

Dr Mahathir berkata kabinet yang dibentuk oleh PH telah menunjukkan prestasi yang baik walaupun kebanyakan anggotanya adalah muka baharu dan menjadi pembangkang selama 60 tahun.

"Namun mereka dapat membawa perubahan dan menjadi kerajaan. Sudah tentu kadang-kala ada masalah, mereka kadang-kadang berasa seolah-olah mereka masih pembangkang.

"Bagi saya, ini adalah satu pencapaian. Hakikat bahawa mereka menerima saya sebagai pemimpin mereka juga merupakan pencapaian yang rakyat nampaknya tidak perasan" katanya.

Dr Mahathir berkata kebanyakan rakyat di negara ini masih berasa gembira dengan peralihan kerajaan, walaupun selepas setahun gabungan itu memegang tampuk kerajaan.

"Pada masa itu, kami tidak terfikir kami akan menjadi kerajaan. Dan apabila menjadi kerajaan, kami mendapati bahawa masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu adalah lebih buruk daripada apa yang kami sangka kerana tidak diberi maklumat. Saya fikir kami telah melakukan dengan baik dengan mengambil kira keadaan itu, " kata Dr Mahathir.

Beliau berkata pencapaian utama, yang juga objektif pertama yang dicapai oleh kerajaan adalah menghindari dan menghapuskan rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini orang ramai tidak banyak mengadu mengenai rasuah, atau kesukaran melakukan apa-apa kerana tidak ada tuntutan untuk dibayar atau bayaran tambahan. Rakyat memperoleh kelulusan dengan lebih cepat," katanya.

Sudah tentu masih ada aduan dan kritikan, tetapi Dr Mahathir menekankan bahawa kritikan itu datangnya dari mereka yang menimbulkan semua masalah tersebut.

"Kami sedang cuba untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh mereka. Mereka meminjam wang berbilion-bilion, mereka menghukum pegawai kerana tidak menyokong mereka, mereka ditukarkan, mereka dipecat. Kami tidak melakukan sedemikian.

"Kami telah menyingkirkan sebilangan mereka yang rasuah. Kami mempunyai bukti tentang mereka dan kami mengambil tindakan terhadap mereka," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata PH juga menegakkan peraturan dan undang-undang negara.

"Mereka sebelum ini tidak mematuhi undang-undang. Kami mematuhi dan menerima konsep pemisahan kuasa antara badan kehakiman dan badan eksekutif," katanya.

Dr Mahathir berkata PH juga berjaya mengurangkan kos untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM21.5 bilion.

Dr Mahathir berkata ini belum pernah dicapai oleh sesiapa, apabila mereka yang terikat dalam kontrak yang sama tidak dapat mengkaji semula perjanjian.

"Kita mengambil masa hampir satu tahun untuk merundingkan semula ECRL. Terma kontrak adalah sangat, sangat buruk. Kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat dari China hanya kerana kita meminjam wang dari China, dan kita meminjam lebih daripada yang sepatutnya.

"Selain itu, semua pembayaran dan keuntungan dibuat di China, bukan di Malaysia. Kami tidak boleh mengenakan cukai sama rata. Kami kembali kepada amalan yang betul, melalui usaha wajar, sebelum menandatangani sebarang kontrak," jelas Dr Mahathir.

Beliau juga menyangkal pengkritik yang menyatakan kerajaan PH menyusun semula inisiatif Barisan Nasional (BN).

"Ini berbeza, Mana-mana kerajaan perlu melakukan perkara-perkara tertentu. Hakikatnya ialah kerajaan terdahulu cuba melakukan apa yang kerajaan sebelumnya lakukan, dan mereka gagal. Kita perlu melakukan perkara yang sama tanpa rasuah, " katanya.

Beliau berkata PH sedang melakukan semua inisiatif yang perlu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan tanpa rasuah dan kronisme.

"Kami melakukannya melalui cara yang betul, bukan melalui rasuah atau memberikan kontrak kepada kroni atau meminta harga kontrak dinaikkan untuk mengaut wang. Itu adalah perkara yang mereka lakukan, "katanya.

Apabila ditanya apakah inisiatif yang beliau tidak dapat laksanakan, Dr Mahathir berkata: "Kami berjanji untuk memansuhkan tol (lebuh raya). Tetapi sekarang kita sedar bahawa kami tidak faham kosnya.

"Jika kerajaan mahu memansuhkan tol, kerajaan perlu membeli semua lebuh raya dan ini melibatkan kos yang tinggi.

"Persoalannya sekarang ialah sama ada kita menggunakan wang itu untuk menghapuskan tol atau kita menggunakan jumlah itu, jika ada, untuk tujuan lain yang lebih penting," kata beliau.

Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa kos untuk menyenggara lebuh raya juga melibatkan berbilion-bilion (ringgit) dan membesarkan masalah kewangan negara.

"Pada masa ini, kami mendapati sangat sukar untuk melaksanakan janji yang dibuat tanpa mengetahui sepenuhnya kos dan kerosakan yang telah dilakukan," katanya.

Bagi projek MRT 3, yang juga ditangguhkan, Dr Mahathir berkata ia melibatkan kos yang terlalu mahal pada masa ini.

"Kami perlu mengurangkan pembinaan, walaupun kami tahu ia berguna. Semuanya bergantung kepada keadaan.

"Kami telah membuat banyak janji yang kami tidak dapat menunaikannya semalaman. Terdapat halangan untuk menunaikannya, tidak mudah untuk diatasi. Ia akan mengambil masa, tetapi kami akan cuba memenuhi seberapa banyak janji yang mungkin," kata beliau. - Bernama