MBI Kedah tuntut Saifuddin betulkan kenyataan

MBI Kedah
MBI Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membetulkan beberapa kenyataan dikeluarkan sebelum ini dan berhenti menyebarkan kenyataan mengelirukan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MBI pada Khamis, MBI Kedah akan menyerahkan perkara ini kepada proses perundangan selanjutnya sekiranya tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak Saifuddin.

Menurut kenyataan itu, ia susulan terdapat penularan video di media sosial melalui platform Tiktok dan Facebook berhubung kenyataan Saifuddin berhubung unsur nadir bumi (REE) dan MBI Kedah dengan dakwaan serta kenyataan mengelirukan.

"Terdapat kenyataan mengelirukan dipetik melalui ceramah Saifuddin di Padang Awam Guar Cempedak pada 15 Julai lepas iaitu 'Kamu Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kedah, ada tak dapat surat yang mengkehendaki Menteri Besar Kedah Incorporated membayar kompaun RM500,000 kerana mencuri nadir bumi di Kampung Chong, Sik Kedah? Kita lantik jadi Menteri Besar untuk urus negeri, bukan jadi pencuri'.

"Menurut rekod MBI Kedah, surat tersebut sebenarnya dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kepada MBI Kedah dan pihak Ho Chung Meng," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, surat dialamatkan kepada MBI Kedah kerana MBI Kedah adalah pemegang lesen ladang hutan sah, manakala kepada pihak Ho Chung Meng kerana beliau adalah orang mengakui kesalahan mencuri dan membayar denda.

Kata kenyataan itu, tidak ada nama Pengerusi MBI Kedah sepertimana yang disebut Saifuddin.

"Saifuddin turut mengeluarkan kenyataan berbunyi 'Antara yang ditangkap ialah seorang warganegara China namanya Huang Zhi Yi. Warganegara China yang kerja dengan Perbadanan Menteri Besar' di Pusat Operasi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik, Homestay Din Haji Salleh pada 26 Julai lepas.

"Huang Zhi Yi bukan pekerja MBI Kedah dan proses pengambilan pekerja di MBI Kedah adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) MBI Kedah.

"Pemohon perlu melalui temuduga dan pemeriksaan kesihatan sebelum tawaran pekerjaan dikeluarkan. Tiada surat tawaran pekerjaan dikeluarkan kepada Huang Zhi Yi sehingga kini. Oleh itu, MBI Kedah menafikan Huang Zhi Yi sebagai pekerja MBI Kedah," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Saifuddin turut dipetik mengeluarkan kenyataan 'Hang (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) yang bawa masuk dia. Hang yang letak dia Perbadanan Menteri Besar. Majikan dia Perbadanan Menteri Besar' pada tarikh dan lokasi sama.

Sehubungan itu, MBI menegaskan bahawa perbadanan tersebut bukanlah majikan Huang Zhi Yi.

Tambah kenyataan itu, majikan bermaksud mana-mana orang membuat kontrak perkhidmatan untuk mengambil bekerja mana-mana orang lain sebagai pekerja.

"Majikan dan pekerja akan terikat dengan kontrak perkhidmatan.Tiada kontrak perkhidmatan dikeluarkan atas nama Huang Zhi Yi," kata kenyataan itu.

Disebabkan itu, MBI Kedah menafikan menjadi majikan kepada Huang Zhi Yi sebagaimana disebut Saifuddin.

Menurut kenyataan itu, Saifuddin sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang berbunyi 'Sapa yang bagi kepada Perbadanan Menteri Besar? Menteri Besarlah yang bagi dekat Perbadanan Menteri Besar. Sapa Menteri Besar Kedah? Sanusi. Sapa Pengerusi Perbadanan Menteri Besar? Sanusi juga' pada tarikh dan tempat sama.

Justeru, MBI Kedah ingin menjelaskan bahawa Menteri Besar Kedah Incorporated JV Jaentique Sdn Bhd telah mendapat surat kelulusan Projek Pembangunan Ladang Hutan di sebahagian Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada Mei 2016.

Tambah kenyataan itu, kerajaan Kedah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hasil Bumi Negeri Kedah telah meluluskan kawasan pada November 2015.

"Menteri Besar Kedah pada ketika itu bukanlah Sanusi sepertimana yang telah dinyatakan Saifuddin," kata kenyataan itu.

MBI Kedah menegaskan bahawa semua kenyataan yang dipetik Saifuddin terbabit adalah mengelirukan dan tidak benar.

Sehubungan itu, MBI Kedah mengeluarkan kenyataan media demi menjaga nama baik dan imej perbadanan itu sekali gus mengelakkan kekeliruan dan tanggapan negatif orang awam serta pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan MBI Kedah.