PDRM FC tamatkan kontrak Azzmi Aziz

Azzmi Aziz. - Foto PDRM FC
Azzmi Aziz. - Foto PDRM FC
A
A
A
MENJELANG aksi pembukaan saingan Piala Malaysia malam ini, PDRM FC mencuri tumpuan apabila mengambil keputusan menamatkan kontrak Ketua Jurulatihnya Azzmi Aziz secara persetujuan bersama berkuat kuasa pada hari ini.

PDRM FC dalam kenyataannya menjelaskan Azzmi sebelum ini secara rasmi direhatkan daripada menggalas tanggungjawabnya bermula 19 Jun lepas dan digantikan dengan penolong ketua jurulatih Eddy Gapil@Edwin buat sementara.

"PDRM FC mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Azzmi Aziz dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, keputusan merehatkan Azzmi menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia The Cops selepas jurulatih berusia 47 tahun itu berjaya membimbing pasukan dengan rekod pencapaian yang dianggap memberangsangkan.

Di bawah kendalian Azzmi, PDRM menduduki tangga kelapan Liga Super dengan mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan dan seri sekali dalam 14 perlawanan.

Antara kemenangan dilakar ialah mengejutkan Kedah Darul Aman FC 1-0 di Alor Setar pada Mac lepas selain menewaskan Selangor FC dan Sabah FC di laman sendiri masing-masing dengan keputusan 1-0 bulan lepas.

PDRM akan melayani kunjungan Selangor pada perlawanan pusingan 16 terbaik pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini. - Bernama.