Hormati kemangkatan Bonda Sultan Mizan, Pas tangguh kempen malam ini

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menangguhkan semua kempen dan himpunan pada malam Khamis bagi menghormati kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah.

Jabatan Penerangan Pas Terengganu menerusi kenyataan pada Khamis berkata, kesemua program kempen boleh diteruskan pada Jumaat.

"Bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah dengan kemangkatan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong AlSagoff Abdillah yang merupakan Bonda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Dengan ini pihak bilik operasi Pilihanraya Pas Terengganu memutuskan agar semua program kempen dan himpunan pada malam ini (Khamis) ditangguhkan," katanya.

Bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah dilaporkan mangkat di Kuala Lumpur pada jam 3.17 pagi Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, jenazah Allahyarham dibawa dari Kuala Lumpur ke Terengganu dengan menggunakan pesawat khas pada tengah hari Khamis.

Menurut Mohd Sophian, Tuanku Mizan Zainal Abidin juga memperkenankan tempoh berkabung selama lima hari bermula Khamis.

Sementara itu, Pas dalam kenyataan sama turut meminta orang ramai supaya mendoakan roh Allahyarhamah Bonda Sultan Mizan.

"Marilah kita mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bonda Sultan Mizan mangkat

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada Sultan Terengganu

PM zahir takziah kepada Sultan Terengganu atas kemangkatan bonda