PRN: 62 laporan diterima, buka lima kertas siasatan di Selangor

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 62 laporan polis yang diterima oleh polis Selangor berkaitan pilihan raya negeri (PRN), pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka lima kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Sebanyak dua kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dua kes pula disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan satu kertas siasatan Seksyen 4 (A) (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954/ Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebanyak satu kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam masa sama, Hussein berkata, sebanyak 225 kempen dan ceramah yang diadakan sempena PRN Selangor mempunyai permit.

Jelasnya, pemantauan dijalankan bagi memastikan setiap kempen dan ceramah mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Selain itu, kita turut mengadakan latihan dalam perkhidmatan 'marshalling' dan tapak pendaratan helikopter anjuran oleh Polis Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

"Seramai 50 pegawai rendah polis melibatkan 16 daerah terlibat dalam latihan itu, tujuannya adalah berkaitan langkah-langkah keselamatan pendaratan helikopter di setiap daerah berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pihaknya memandang serius berhubung dengan perbuatan khianat yang dilakukan dengan cara merosakkan bendera dan menconteng poster.

"Polis Kontinjen Selangor menggerakkan hampir kesemua pasukan Ops Cantas dan juga pasukan bawah Ketua Polis Daerah dalam usaha mengesan dan menangkap mana-mana pihak yang terbabit sama ada secara langsung atau sebaliknya.

"Pihak polis mengingatkan kepada semua calon yang bertanding dan para penyokong parti agar mematuhi nasihat, peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya sepanjang tempoh berkempen ini," katanya.