Bina pusat sehenti pelancongan diraja, ilmuan Tok Kenali

MOHD ASRI
MOHD ASRI
A
A
A

KOTA BHARU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di Kubang Kerian di sini akan menjadi sebuah pusat sehenti pelancongan jika kemenangan berpihak kepada calon Pas, Mohd Asri Mat Daud pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Asri yang juga Setiausaha Akhbar dan Politik Menteri Besar Kelantan itu berkata, hasrat membina sebuah pusat sehenti berkenaan akan dilakukan bagi menarik orang ramai mengunjungi DUN itu sambil mendapat pelbagai maklumat ilmiah terutama berkaitan istana dan pengetahuan berkaitan tokoh ulama terkenal, Tok Kenali.

Menurut beliau, usaha yang berkaitan sudah pun dimulakan melalui Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 antaranya menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Diraja Kelantan dan pelancongan warisan kebudayaan.



“Bandar Diraja Kelantan ini akan dibina di kawasan berkeluasan 480.12 hektar dan mampu menarik pelancong berkunjung ke Demit.

“Demit ialah kawasan pinggir bandar yang mempunyai banyak potensi tinggi dan boleh menjadi pusat sehenti untuk pelancong dengan adanya istana-istana di kawasan itu dan peninggalan Tok Kenali,” katanya ketika sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan di sini pada Khamis.

Ujar Asri yang juga Pengarah Pilihan Raya Dewan Ulama Pas Negeri (2014 - sekarang) itu, proses pembangunan mercu tanda di Demit itu akan mengambil masa dan belanja yang tinggi namun akan dilakukan sekali gus dapat merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan Ikhtisas Fatwa Syarie Dar al-Ifta Mesir itu turut menekankan keutamaan memberikan layanan baik dan adil kepada masyarakat bukan Islam bagi mewujudkan sebuah negara yang harmoni.

Menurut beliau, sama ada Islam atau bukan Islam, dari sudut keadilan sosial ialah sama dan yang berbeza hanyalah pegangan akidah.

“Kita berbeza akidah tetapi dalam hal sosial, jika orang bukan Islam buat kenduri atau apa-apa majlis, orang Islam boleh hadir.

“Bahkan, kita tidak boleh mengkhianati mereka, berbalah dengan mereka dan berlebih-lebih, perkara ini sudah dipesan oleb Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Pada PRN ini, Mohd Asri (PN-Pas) berdepan Datuk Ismail Ghani dari Pakatan Harapan-Parti Amanah Negara.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!