Zii Jia, Tze Yong uji tenaga di Australia

Tze Yong (kiri), Zii Jia - Foto Badminton Photo
Tze Yong (kiri), Zii Jia - Foto Badminton Photo
A
A
A

PARA peminat badminton negara berpeluang menyaksikan dua pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong membuat debut di pentas antarabangsa dalam saingan suku akhir Terbuka Australia pada Jumaat.

Zii Jia mengakhiri badi tewas pada pusingan awal apabila menempah slot lapan terbaik buat kali pertama selepas lima kejohanan setelah menewaskan Mithun Manjunath 21-13, 12-21, 21-19 dari India dalam saingan pusingan kedua pada Khamis.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia melakar pertembungan dengan Tze Yong yang meraih tiket ke suku akhir setelah mengejutkan pemain nombor lima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 22-20, 21-15.

Ini adalah kali kelima Tze Yong meraih tempat pusingan suku akhir selepas Seluruh England, Terbuka Switzerland, Terbuka Thailand dan Terbuka Korea pada musim ini.

Sebagai rekod, kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sesama sendiri dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Sudah pasti pertemuan itu menarik minat warga badminton negara untuk berada di depan televisyen atau menonton secara 'live stream' menerusi telefon pintar.

Aksi itu juga menjadi peluang terbaik buat Tze Yong untuk menggugat status pemain nombor satu negara yang ketika ini menjadi milik Zii Jia.

Malah lebih menarik kedudukan ranking dunia kedua-dua pemain itu dipisahkan empat mata tangga.

Zii Jia ketika ini menghuni tempat ke-17, manakala Tze Yong di kedudukan ke-21.