PRN: Calon Pas Salor janji atasi masalah air

Saizol
Saizol
A
A
A

KOTA BHARU - Dalam kemelut dan kekecewaan rakyat berhubung isu air yang berlarutan berlaku di Kelantan, calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor tetap berani tampil menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah itu jika menang pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Calon N17, Saizol Ismail yang juga bekas Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) (2020-2022) berkata, walaupun masalah air sebenarnya bukan 100 peratus berpunca daripada kerajaan negeri atau Pas, tidak bermaksud pihaknya boleh lepas tangan dalam isu berkenaan.

Menurutnya, rakyat juga sudah mengetahui dan memahami usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan Pas di negeri ini serta beliau menetapkan matlamatnya untuk turut sama memikul tanggungjawab dalam menyelesaikan perkara itu demi kepentingan rakyat.

“Rakyat sendiri tertunggu-tunggu apakah jalan penyelesaian yang akan dilakukan. Saya di DUN akan melihat isu air ini dan sudah pun ada beberapa alternatif sementara dilaksanakan semasa penyandang Saiful Adli Abu Bakar (Pas) sebelum ini. Dalam masalah air ini, mana-mana pemimpin tidak boleh abaikannya kerana air keperluan asas rakyat.

“Ada keperluan di Salor ini pembinaan satu loji air berkapasiti dua juta liter sehari (JLH) bagi menampung kira-kira 2,000 rumah. Insya-ALLAH andai kata ada pembangunan loji akan dapat pertambahan sumber air termasuk pada musim kemarau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar harian Perikatan Nasional (PN) sempena PRN di Pejabat Perhubungan Pas Kelantan di sini pada Khamis.

Saizol berkata, bagi menyelesaikan masalah berkenaan dalam jangka masa pendek, langkah yang akan dibuat ialah membina lebih banyak telaga tiub kepada penduduk kampung di DUN Salor.

Tambah beliau, perhatian sama akan diberikan terhadap masalah banjir termenung yang berlaku setiap kali hujan misalnya di kawasan Dewan Beta melalui dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya bagi menaik taraf sistem perparitan di DUN Salor.

“Akan lebih banyak permohonan projek untuk menaik taraf saluran dan longkang dibuat kepada pihak atasan bagi menyelesaikan masalah banjir termenung di kawasan DUN Salor.

“Khidmat terbaik terutama maklum balas lebih cepat akan diberikan kepada masalah rakyat supaya kehidupan mereka lebih berkualiti,” kata beliau.

Saizol juga ialah Ketua Pemuda Pas DUN Salor akan berdepan Mohamad Husain (Barisan Nasional) di DUN dengan jumlah pengundi 36,294 pada PRN15.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!