Tuah Adzmi cari 'tuah'

Tuah cuba nasib dalam bidang lakonan. - Foto AZRUL RAFIE (ASTRO)
Tuah cuba nasib dalam bidang lakonan. - Foto AZRUL RAFIE (ASTRO)
A
A
A

PENYANYI yang kini bergelar pelakon, Tuah Adzmi berdebar menanti reaksi penonton selepas drama pertama lakonannya, Budak Hostel Otaknya Sewel mula ditayangkan di saluran Astro Ria sejak Isnin lalu.

Ujar Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafis Muhammad Adzmi, drama rantaian 16 episod itu menjadi platform baharu buatnya 'menjual' bakat.

"Saya terima tawaran berlakon ini sebagai salah satu peluang menguji pasaran tetapi saya serius dengan percubaan ini. Dalam masa sama, saya bimbang kerana ini adalah satu keputusan yang besar.

"Cuma agak ralat sebab saya tidak berkesempatan untuk masuk kelas lakonan kerana masa yang singkat sebelum memulakan penggambaran," katanya kepada Sinar Harian.

Tuah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama-drama terbaharu Astro di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah anak muda berusia 24 tahun ini, dia bersedia dengan apa jua komen yang akan diberikan oleh penonton dan rela mengucapkan selamat tinggal jika lakonannya gagal memberi kesan yang baik.

"Saya terbuka terima teguran, macam yang mummy (Didie Alias) komen tadi (ketika sesi sidang media), saya puas hati sebab tahu apa kekurangan dan kelemahan saya.

"Bagi saya berlakon ini macam kita nak berniaga, penonton adalah pelanggan kita. Bila pelanggan tak puas hati, kita kena perbaiki mutu lakonan kita.

"Cuma kalau lebih banyak yang tak suka, mereka rasa eloklah saya berhenti dan fokus menyanyi sahaja, maka saya tidak keberatan untuk berbuat demikian. Mungkin mereka nampak mana yang lebih baik untuk saya," jelasnya.

Selain Tuah, pelakon lain yang membintangi Budak Hostel Otaknya Sewel ialah Adam Eji, Izz Ilham dan Baihaqi Majid sebagai tunggak utama.

Para pelakon A-List Malaysia seperti Sharnaaz Ahmad, Azhan Rani dan Didie Alias pula menguatkan lagi barisan bintang drama ini.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan karier nyanyiannya, Tuah berkata, semenjak keluar daripada program Big Stage 2022, rezekinya dalam bidang seni semakin luas.

"Tawaran menyanyi biasalah ada pasang surut, masih ada walaupun tak banyak. Saya ada juga keluar dengan single baharu, Magis Cinta," katanya.