Bangkit isu negatif, serang peribadi bukti lawan tandus isu - Samsuri

Samsuri (dua dari kanan) bergambar bersama calon DUN di kawasan Marang pada malam Rabu
Samsuri (dua dari kanan) bergambar bersama calon DUN di kawasan Marang pada malam Rabu
A
A
A

MARANG - Pas menyifatkan parti lawan ketandusan isu apabila menjadikan isu negatif dan serangan peribadi sebagai bahan kempen pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar berkata, rakyat perlu bijak menilai tindakan yang dilakukan itu kerana ia jelas bertujuan untuk meraih sokongan semata-mata.

“Saya setuju bahawa mereka ketandusan isu (sehingga) ia terpaksa direka (dan) diwujudkan untuk menimbulkan perspektif yang negatif dan ia tidak akan terhenti di situ.

“Saya mendapat pelbagai maklumat yang sampai kepada saya bahawa perancangan sedang dibuat (oleh pihak lawan) untuk menambah lagi rempah ratus (dan) perkara palsu seperti itu di masa yang terdekat ini sehingga sampai hari pengundian.

“Jadi saya mohon kepada semua pengundi-pengundi supaya dapat mengamalkan ‘self restraint’ (menahan diri) masing-masing bila menerima berita-berita yang sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Teguh Pertahan:Kenali Calon Pas Marang Kite di Kampung Padang Mengkuang Pengkalan Berangan di sini malam Rabu.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang, calon Alor Limbat, Ariffin Deraman, calon Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah dan calon Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong

Menurut Samsuri yang juga calon di Rhu Rendang, pelbagai isu akan diwujudkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian bagi meraih sokongan pengundi.

Namun katanya, sokongan kuat yang ditunjukkan pengundi khususnya dalam tempoh kempen kepada Pas jelas membuktikan rakyat tidak terpedaya dengan bentuk kempen sedemikian.