Peminat Yamaha RXZ kena sabar, utamakan hari mengundi dulu

Kira-kira 40,000 hadir pada Program RXZ ‘Members’ 4.0 2022 di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, tahun lepas. - Foto Bernama
Kira-kira 40,000 hadir pada Program RXZ ‘Members’ 4.0 2022 di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

MERAK JALANAN diberitahu ramai peminat Yamaha RXZ kecewa apabila tarikh keramat dinanti mereka iaitu 12 Ogos 2023 untuk program RXZ Member 5.0 di Gong Badak, Terengganu terpaksa dianjak ke tarikh lain.

RXZ Members merupakan acara tahunan yang menyaksikan pemilik ribuan pemilik motosikal Yamaha RXZ berkumpul di Terengganu bagi meraikan motosikal ikonik itu.

Penganjuran program ini adalah idea daripada enam orang anak muda yang juga anak jati kampung di Kuala Terengganu pada 2016.

Ramai rakan Merak Jalanan yang 'terjebak' dengan jentera popular era 90-an ini garu kepala apabila tarikh 12 Ogos yang diumum penganjur sejak Mac terpaksa diubah ke tarikh lain.

Ia berikutan tarikh 12 Ogos bertembung dengan hari mengundi pilihan raya negeri enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Peminat RXZ kena sabar dan bertenang dulu. Takkan lari gunung dikejar.

Kita kena utamakan hari pengundian, selepas itu barulah boleh retro semula Merak Jalanan difahamkan penganjur sudah menetapkan tarikh baharu iaitu 8 dan 9 September depan di lokasi yang sama.

Merak Jalanan pernah hadir event ini tahun lepas. Sambutannya memang havoc. Dianggarkan lebih 40,000 peserta dari seluruh negara berkumpul.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir pada hari tersebut turut kagum dengan penyertaan luar biasa anak-anak muda yang sanggup meredah hujan dan panas menunggang ‘jentera retro’ sama ada secara berseorangan atau berkonvoi.

Merak Jalanan faham semangat RXZ sentiasa membara di jiwa, namun hari pengundian juga perlu sentiasa diutamakan. Kerana mengundi juga adalah satu tanggungjawab kita kepada negara.

Apa pun, diingatkan kepada pencinta dua roda ini agar sentiasa berhati-hati terutama ketika berada di jalan raya.