Kekang ajaran sesat Si Hulk, Ahmadi Religion

Tangkap layar rakaman sekeluarga yang mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan yang tular di media sosial.
Tangkap layar rakaman sekeluarga yang mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan yang tular di media sosial.
A
A
A

MENAKUTKAN dan membimbangkan apabila tiba-tiba naik pula nama ajaran Si Hulk serta Ahmadi Religion yang cuba menyesatkan umat Islam di Malaysia.

Ini amat dibimbangi kerana Si Hulk menyebut beberapa ayat menyeleweng akidah, antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan, manakala Ahmadi Religion dipercayai mempromosi lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Ajaran tidak betul ini perlu diambil serius dalam usaha membanterasnya secara total.

Usah beri muka kepada individu yang berpegang kepada ajaran ini apatah lagi mereka ini dilihat semakin berani menonjolkan diri di media sosial.

Baru-baru ini, Polis Kuala Lumpur menahan lapan individu disyaki terlibat dalam ajaran Ahmadi Religion dalam himpunan di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu kota, 29 Julai lalu.

Salah seorang suspek pula pernah diberkas kerana mengedar risalah berkaitan Ahmadi Religion di sebuah masjid di Putrajaya.

Pengikut Si Hulk pula semakin berleluasa serta berani memuat naik video pengakuan mereka di Facebook.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Mohammad yang turut dipanggil Suhai Ibni Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Susulan itu, Jabatan agama negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ajaran Si Hulk termasuklah menyekat penyebaran video-video oleh golongan terbabit.

Berdasarkan laporan media pada 23 Julai lalu, pengikut Si Hulk dikesan berada di New Zealand bersama-sama dengan ketua ajaran itu, Suhaini Muhammad.

Mereka dipercayai cuba mendapatkan permohonan suaka dari kerajaan di sana dengan menggunakan alasan diancam rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, dengan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sedang memantau saki baki pengikut ajaran sesat Si Hulk yang masih berada di dalam negara ini bagi membendung penyebaran ajaran itu.

Oleh itu, semua pihak perlu bersama-sama PDRM dalam menyalurkan maklumat supaya ajaran yang bertentang akidah dapat dicegah daripada terus meresap ke dalam masyarakat.