Tiada kompromi pegawai, anggota cemari integriti polis

Datuk T Narenasagaran - Foto arkib Bernama
Datuk T Narenasagaran - Foto arkib Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis yang yang terlibat dalam jenayah, dadah atau kegiatan yang boleh mencemarkan integriti Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran hari ini berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota yang terlibat kegiatan berkenaan kerana ia merupakan penyumbang kepada berlakunya insiden salah laku di kalangan polis.

"Sepanjang bulan April lepas, tujuh kertas Siasatan Tatatertib (KST) dibuka melibatkan lapan anggota polis dalam kes jenayah, dadah serta tatatertib.

"Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan buang kerja, tatatertib dan kaunseling," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.

Katanya pegawai dan anggota polis perlu berusaha bersama-sama menurunkan jumlah kes membabitkan mereka kerana ia melibatkan kebertanggungjawaban, intergiriti serta disiplin dalam kalangan warga PDRM.

"Polis Pulau Pinang juga menjalankan ujian air kencing secara berkala ke atas pegawai dan anggota polis di negeri ini bagi memastikan mereka bebas dadah dan jika ada yang terlibat, (anggota atau pegawai) polis berkenaan akan dibuang kerja serta tindakan mahkamah seperti orang awam," katanya.

Sementara itu, Narenasagaran berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang berjaya menyelesaikan lebih separuh daripada 1,702 kes jenayah yang dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga April.

Katanya jumlah kes yang diselesaikan ini mewakili kira-kira 54.3 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan dan melepasi 45 peratus yang ditetapkan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) penyelesaian kes.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan bagi empat bulan pertama tahun ini meningkat 86 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2018, namun peratus penyelesaian kes ini adalah satu perkembangan yang positif manakala pertuduhan direkodkan 40 peratus dengan jumlah tangkapan 122 orang," katanya.

Beliau berkata kejayaan itu dicapai hasil komitmen tinggi pegawai dan anggota polis negeri terhadap tugas mereka yang disokong oleh kesedaran masyarakat setempat mengenai peranan mereka dalam mengurangkan dan membanteras kegiatan jenayah.

"Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri juga mencatatkan beberapa kejayaan antaranya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.26 juta bagi tempoh empat bulan pertama, menahan 4,643 orang terlibat kes dadah dan daripada jumlah itu 327 orang ditangkap merupakan pengedar dadah," katanya. - Bernama