Bahan kempen calon PH jadi mangsa vandalisme

Bahan kempen calon PH menjadi mangsa vandalisme apabila diconteng dan dikoyakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Bahan kempen calon PH menjadi mangsa vandalisme apabila diconteng dan dikoyakkan pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Poster calon Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang di sekitar Permatang Pauh, Kepala Batas dan Bukit Mertajam menjadi mangsa vandalisme apabila diconteng dan dikoyakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada papan iklan Malaysia Madani di beberapa kawasan berkenaan turut menjadi mangsa apabila disembur cat berwarna putih dan hitam selain digunting pada bahagian muka.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Rosidi Hussain berkata, tindakan provokasi itu tidak sepatutnya berlaku dan semua penyokong tidak kira daripada parti mana perlu berkempen secara sihat.

"Saya merayu dan memohon kepada semua masyarakat dan rakyat supaya bertindak dengan lebih waras, jangan terburu-buru serta beremosi kerana kempen politik pilihan raya negeri (PRN) mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan dunia.

Papan iklan Malaysia Madani turut menjadi mangsa vandalisme.
Papan iklan Malaysia Madani turut menjadi mangsa vandalisme.

"Biarlah kita berkempen dengan cara yang lebih baik, ikut peraturan dan undang-undang," katanya ketika ditemui media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Permatang Pauh, Mohamad Salehan Jahaya membuat laporan polis berhubung bahan kempen yang dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Sementara itu, calon DUN Seberang Jaya, Johari Kassim melahirkan kekesalan dengan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang dipercayai dilakukan oleh pihak lawan.

"Dalam proses demokrasi ini setiap parti mempunyai hak untuk berkempen, meletakkan bahan kempen dan kita perlu menghormati bahan kempen masing-masing sepanjang pilihan raya ini berlangsung.

"Kita berharap parti lawan dapat memberi penerangan dan nasihat supaya tidak bertindak di luar garis undang-undang. Kita berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan yang lebih lagi bagi mengelakkan kejadian ini berulang," katanya.

Rosidi (tiga dari kanan) dan Johari (empat dari kanan) bersama jentera PH menunjukkan gambar serta laporan polis yang dibuat berhubung tindakan vandalisme pihak tidak bertanggungjawab terhadap bahan kempen mereka di IPD Seberang Perai Tengah, pada Rabu.
Rosidi (tiga dari kanan) dan Johari (empat dari kanan) bersama jentera PH menunjukkan gambar serta laporan polis yang dibuat berhubung tindakan vandalisme pihak tidak bertanggungjawab terhadap bahan kempen mereka di IPD Seberang Perai Tengah, pada Rabu.

Bagi calon DUN Machang Bubok, Lee Khai Loon, beliau meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran poster dan papan iklan terlibat agar menyalurkannya kepada wakil calon untuk tindakan selanjutnya.

"Di kawasan saya juga banyak poster dan papan iklan yang dirobohkan. Hasil pemerhatian kami semua yang rosak itu bukan disebabkan kejadian ribut yang berlaku Ahad lalu tetapi ia berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab kumpulan tertentu.

"Jadi saya menyeru orang ramai yang mempunyai rakaman CCTV agar berikan kepada kami dan kita akan salurkan kepada pihak polis untuk kesan mereka yang sengaja melakukan provokasi ini," katanya.