Pas tidak mahu jadi 'yes man' DAP - Idris

Idris
Idris
A
A
A

BUTTERWORTH - Pas memilih untuk tidak menjadi ‘yes man’ kepada DAP dan menolak menjalinkan kerjasama dengan parti itu selepas ia diputuskan secara kolektif dalam Majlis Syura Ulama Pas.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, jika mahu berkuasa, mereka boleh sahaja bersama-sama dengan DAP membentuk kerajaan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Namun itu semua tidak berlaku, kerana Pas tidak mahu menggadaikan prinsip perjuangan parti apabila bekerjasama dengan DAP.

"Berbeza dengan UMNO, kerjasama antara Pas dengan DAP sebelum ini adalah berteraskan tahalul iaitu 'smart partnership' atau kerjasama pintar sahaja iaitu membabitkan isu tertentu serta untuk tujuan tertentu sahaja.

"Kita berkawan (dengan DAP) atas prinsip dan berpisah (dengan DAP) kerana prinsip berkawan dulu, kita namakan ia sebagai ‘tahaluf’, bukannya ‘wala'.

"Kita bekerjasama dulu dengan syarat, jangan ganggu prinsip yang kita mahu bawa dan kita tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya... tetapi kami pun punya dasar, jangan ganggu. Tapi bila sampai tahap kita pun kamu nak ganggu, kita withdraw," katanya.

Idris berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan yang meminta Pas mengemukakan dalil al-Quran dan hadis yang melarang parti itu daripada menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) optimis dapat mengulangi kemenangan ketika PRU15 yang lalu khususnya di tiga kawasan Parlimen iaitu di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh pada pilihan raya negeri (PRN) ini.

Beliau berharap momentum kemenangan berdasarkan gelombang kebangkitan PN akan diterjemahkan pada 12 Ogos ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua, Tasek Gelugor. - Awani