PRN: Polis buka kertas siasatan klip video hina Anwar

 - Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah telah membuka kertas siasatan berkaitan laporan penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Jurucakap Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Pendang, di Balai Polis Pendang pada jam 1.45 petang Selasa.

“Polis Kedah telah terima satu laporan berkaitan penghinaan terhadap Perdana Menteri Malaysia.

“Pengadu merupakan ahli jawatankuasa UMNO Pendang beritahu telah melayari akaun TikTok ‘Projek Papa’ dan dapati kandungan video tersebut mempunyai unsur yang menghina Perdana Menteri Malaysia dan mempunyai hasutan yang boleh menyebabkan kegusaran dan perpecahan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny memaklumkan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 233 AKM 1988.

Justeru, beliau menasihati orang awam supaya tidak menyentuh sensitiviti kaum dan individu tertentu sepanjang tempoh kempen dalam pilihan raya negeri ini. - Awani